Selangorkini
SELANGOR

Harga Masjid Bawah BN Selangor – RM 10 Juta, Harga Pakatan Rakyat – RM 6.4 Juta

KUALA SELANGOR 12 OKT : Kawalan kos perbelanjaan dalam pembinaan masjid di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor telah membolehkan kerajaan negeri membina lebih banyak masjid.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata sebelum Pakatan mentadbir, kos membina masjid seperti yang baru dibina di Jeram di sini boleh mencecah sehingga RM 10 juta sebuah.

Walhal masjid tersebut dibina oleh Kerajaan Selangor sekarang dengan kos M 6.4 juta.

Beliau berkata kawalan kos perbelanjaan dalam pembinaan masjid secara berhemah memberi keupayaan Kerajaan Selangor membina beberapa buah masjid lagi.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucapan di dalam majlis penyerahan masjid Jeram kepada jawatankuasanya.

Beliau menambah, kariah perlu mengimarahkan masjid dengan program yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat seperti program-program ceramah dan majlis ilmu.

“Justeru adalah menjadi tanggungjawab pegawai masjid agar dapat menjaga kebersihan dan memelihara kawasan persekitaran masjid ini dengan penanaman pokok untuk suasana yang lebih selesa.”

Beliau juga mencadangkan agar pihak masjid dapat mengadakan kemudahan seperti internet wifi percuma dan pemeriksaan kesihatan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Kata Abdul Khalid, masjid-masjid di negeri ini yang bersih dan selesa terutamanya tandasnya menjadi tarikan orang ramai daripada luar negeri untuk singgah berehat sebentar.

Turut hadir dalam majlis penyerahan itu MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.

Abdul Khalid turut bersama-sama penduduk kariah menunaikan Solat Jumaat dan memberikan ‘duit raya’ kepada kira-kira 100 orang kanak-kanak sambil bermesra dengan penduduk setempat.


Pengarang :