Selangorkini
NASIONAL

Himpunan Kebangkitan Rakyat Dipindahkan Tempat

KUALA LUMPUR, 11 OKT : Himpunan bagi menuntut sistem pilihanraya yang adil dan bersih yang dijadualkan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dipindahkan ke Padang Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, perhimpunan itu yang dijadualkan pada 3 November terpaksa ditukar tempat kerana stadium tersebut menjadi tuan rumah bagi Piala AFF Suzuki yang bakal berlangsung mulai awal bulan hadapan.

“Himpunan ini tetap berlangsung tetapi ditukar ke Seremban dan kita akan membuat pelancaran himpunan kebangkitan rakyat ini di setiap zon utara, tengah dan selatan di sana,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Himpunan ini juga akan melibatkan beberapa NGO lain dan bakal dilangsungkan pada jam 4.00 petang sehingga 12.00 malam.

Katanya, “Grand Finale” bagi perhimpunan ini dijangka di adakan pada 12 atau 19 Januari 2013 yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Merdeka.

“Kita mengikuti saranan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengadakan perhimpunan aman di stadium dan kita berharap permohonan kita diluluskan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Fokus utama himpunan kali ini bertumpu kepada ruang media yang lebih bebas dan pembersihan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

?Himpunan ini dibuat ekoran tuntutan lapan perkara Bersih 3.0 masih tidak dihiraukan,? katanya lagi.


Pengarang :