Selangorkini
NASIONAL

Hishamuddin: Pembebasan ISA Bukti Umno-BN berniat jahat

SHAH ALAM, 2 OKT : Penahanan 10 aktivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001 yang diputuskan tidak sah dan berniat jahat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membuktikan kerajaan Umno-BN menyalahgunakan akta itu bagi tujuan politik.

Salah seorang aktivis terlibat, Hishamuddin Rais berkata, dengan keputusan dibuat mahkamah itu adalah jelas ISA disalahgunakan demi kepentingan politik kerajaan Umno-BN untuk terus berkuasa.

“Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini adalah satu undang-undang yang zalim di mana hakim telah berkata bahawa penangkapan kami dulu telah dibuat pada 2001 adalah “malafide” bermakna berniat jahat.

“Hakim telah menyatakan bahawa penangkapan itu juga salah dan kenyataan media oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai itu telah merosakkan imej kami,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Pada 2001, polis telah menahan Hishamuddin bersama sembilan yang lain termasuk MP Batu, Tian Chua dan pemimpin kanan PKR, Dr Badrulamin Bahron dalam satu gerakan reformasi yang didakwa mengancam keselamatan negara.

Berikutan keputusan itu, beliau berkata, mahkamah telah memutuskan di mana pihak kerajaan didenda untuk membayar sekian jumlah yang tidak dinyatakan.

“Niat kerajaan pada ketika itu adalah bertujuan memecahkan gerakan reformasi maka kami dituduh ada membawa molotov coctail, ballbearing dan barangan lain untuk membuat keganasan.

“Tetapi selama 54 hari saya dan kawan lain ditahan, tidak ada satu soalan pun tentang ballbearing atau molotov coctail ditimbulkan dan ditanya kepada kami semua.

“Apa yang mahu dibuktikan dalam siasatan 54 hari itu ialah mereka mahu merisik tentang pergerakan PKR. Ini yang berlaku dan bukan seperti tuduhan,” katanya.


Pengarang :