Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

IADA Diminta Segera Siap Pembaikan Ban Pecah

KUALA KUBU BHARU, 12 OKT : Pihak Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor diminta menyegerakan pembaikan ban Sungai Bernam SKC yang pecah bagi memastikan aliran air ke sawah-sawah dan Loji Pembersihan Air Sungai Sireh tidak terjejas.

Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Saliran Dan Pengairan (JPS) Selangor diminta memantau projek pembaikan itu dari masa ke semasa bagi memastikan ia siap dalam tempoh terdekat.

“Kekurangan air di kawasan sawah padi adalah disebabkan sebelah tebing sungai sebelah Negeri Perak yang pecah dan aliran air Sungai Bernam ini mengalir ke arah Perak, jadi ia menyebabkan arah aliran air ke sawah-sawah padi berlaku pengurangan.

“Kerja-kerja pembaikan ini sepatutnya dilakukan oleh pihak IADA Selangor yang di bawah kerajaan pusat dan ia sudah agak lewat sehingga setahun baru hendak diambil tindakan,” kata Yaakob .

Beliau berkata demikian semasa turun padang melawat sekitar kawasan ban yang pecah itu di Ibu Bekalan Sungai Bernam Jabatan Saliran Dan Pengairan Tanjong Karang di sini.

Pada masa yang sama, beliau dan wakil-wakil agensi kerajaan terbabit turut mengadakan perbincangan pendek selama 15 minit bagi merangka dan melaksana pelan mengatasi masalah itu.

Yaakob berkata, bagi mengatasi masalah kekurangan air untuk mengairi sawah-sawah beberapa penyelesaian dikemukakan antaranya adalah mengitar semula air-air yang ada di kawasan itu.

“Kita sudah minta pihak LUAS dan JPS untuk memantau dan menyegerakan projek ini bagi memastikan air ke sawah-sawah adalah mencukupi.

“Kita yakin dengan usaha semua pihak masalah air ini dapat diselesaikan,” ujar Yaakob.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat dan wakil-wakil daripada JPS Selangor dan IADA Selangor.

Sebelum ini media melaporkan, berlaku masalah penurunan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam yang menempatkan Loji Pembersihan Air Sungai Sireh yang disebabkan oleh ban sungai yang pecah.

Ia menjadi antara faktor penurunan paras air untuk Loji Pembersihan Air Sungai Sireh yang membekalkan air bersih dan kegunaan sawah padi di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan.


Pengarang :