Selangorkini
NASIONAL

Jayathas Pilih PKR Untuk Bela Rakyat

DAMANSARA 9 OKT : Pemimpin tertinggi Hindraf (Hindu Rights Action Force), S Jayathas hari ini dengan rasminya menyerahkan borang keahlian PKR kepada Nurul Izzah Anwar.

Beliau yang juga aktif dalam Human Rights Party Malaysia memberitahu, PKR merupakan landasan dan platform terbaik untuknya terus berjuang menegakkan keadilan dan hak kesaksamaan rakyat.

“Matlamat saya adalah untuk menamatkan riwayat Umno-BN di Putrajaya yang selama 55 tahun pemerintahan ini begitu angkuh menindas hak dan harta rakyat.

“Saya berharap dapat bersama-sama PKR dan Pakatan Rakyat, berganding bahu untuk merealisasikan impian ini demi masa depan Malaysia yang lebih harmoni,” jelasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Tropicana pagi tadi.

Selain Nurul Izzah, turut hadir memberikan sokongan dalam sidang media tadi ialah Naib Presiden PKR, N. Surendran, MP Subang, R. Sivarasa serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Khalid Jaafar.

Ditanya jawatan yang ditawarkan kepada beliau dalam PKR, Jayathas berkata, beliau tidak memikirkan soal itu dan hanya fokus untuk turun padang dan sama-sama berjuang demi keadilan.

Izzah juga Naib Presiden PKR mengesahkan buat masa ini tiada perbincangan mengenai jawatan sebaliknya PKR lebih berminat dengan komitmen yang ditunjukkan Jayathas.

“Perjuangan harus berlandaskan keikhlasan dan kesungguhan dalam menggerakan perjuangan parti demi rakyat,” ujar beliau.

Jayathas merupakan seorang aktivis yang aktif berjuang untuk masyarakat India negara ini selain beliau juga pernah bertanding untuk kerusi DUN Merlimau pada tahun 2004.


Pengarang :