Selangorkini
NASIONAL

Kenyataan Pengerusi PERDA Tak Masuk Akal : Utusan Terus Tabur Fitnah

SHAH ALAM, 18 OKT : Umno dan Utusan Malaysia terus menabur fitnah apabila mempersoalkan Kerajaan Pulau Pinang tidak menggunakan Akaun Amanah Perumahan Bumiputera sejumlah RM33.6 juta untuk membina 10,000 rumah kos rendah dan mampu milik.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sekiranya kerajaan negeri menggunakan wang amanah berkenaan, pihaknya akan dituduh tidak mahu menggunakan wang negeri untuk membina rumah mampu milik.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan bahawa akaun amanah tersebut naik 58 peratus kepada RM33.6 juta.

“Lagipun wang akaun amanah tidak mencukupi kerana untuk membina 350 unit rumah kos sederhana rendah, kos pembinaan tanpa kira kos tanah menjangkau RM35 juta,” kata Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, fitnah jahat Utusan dan Umno semakin terserlah dengan kenyataan Ketua Pembangkang Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Datuk Azhar Ibrahim menyelar kerajaan negeri tidak mahu menggunakan wang akaun RM33.6 juta untuk membina 10,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik.

“Kenyataan Azhar ini adalah tidak masuk akal kerana ini bermakna hanya perlu RM 3,360 untuk membina sebuah unit.

“Saya ingin melihat PERDA bina rumah kos rendah dan mampu milik dengan kos RM 3,360 seunit mustahil dilakukan,” kata beliau.

Ujar Guan Eng, kerajaan Pulau Pinang memberikan jaminan akan menggunakan wang akaun amanah perumahan bumiputera untuk membina rumah mampu milik.

Jelasnya, kerajaan negeri akan menepati janji bukan seperti janji BN yang dibuat 28 tahun dahulu untuk membina rumah kelamin bagi anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) di Bertam, Kepala Batas.

Ianya 330 ekar tanah milik TUDM di Bertam, Kepala Batas yang tidak dibina rumah kelamin TUDM sejak 1984 tetapi disewa dengan harga hanya RM 7,000 sebulan.

Difahamkan 330 ekar tanah tersebut diambil alih oleh kerajaan negeri pada 1982 bagi tujuan tapak rumah kelamin TUDM dengan pampasan RM 5,148,000 ataupun harga RM 15,600 seekar.

Selepas proses pengambilan tanah siap, Geran tanah telahpun dipindahmilik dan dikeluarkan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 23 Februari 1984.

Akan tetapi sehingga sekarang selepas 28 tahun, tiada rumah kelamin TUDM dibina di atas 330 ekar tanah. Sebaliknya tanah tersebut yang terdiri daripada pokok kelapa sawit kini disewa dengan harga RM7,000 sebulan.

“Sungguhpun adalah tanggungjawab kerajaan pusat untuk membina rumah mampu milik, kerajaan negeri PR Pulau Pinang telah mencatatkan rekod yang tidak pernah dilakukan dengan memperuntukkan RM 500 juta untuk membina rumah mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang, termasuk di kawasan pulau.

“Usaha mengumpulkan wang RM500 juta bukanlah mudah dan perlu empat tahun untuk mencapainya.

“RM500 juta hanya cukup untuk membina 18,000 yunit rumah mampu milik kepada semua rakyat pada 5 tahun yang akan datang,” katanya.

Katanya, sejak 2008, kerajaan negeri melalui Penang Development Corporation(PDC) telah berjaya membina 4,000 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah dengan 8,000 uunit lagi disumbangkan oleh pihak swasta menjadikan keseluruhan 12,000 unit.


Pengarang :