Selangorkini
NASIONAL

Kepincangan Ekonomi Malaysia Berpunca Dari Pengurusan Umno-BN

KUALA LUMPUR, 1 OKT : Masalah ekonomi di negara boleh diatasi dengan cekap dan berkesan sekiranya dasar-dasar yang digubal merombak kepincangan struktur ekonomi sedia ada.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegagalan Kerajaan Umno-BN menamatkan defisit belanjawan selama 15 tahun berturut-turut membuktikan Malaysia mempunyai masalah struktur ekonomi yang serius.

Beliau berkata, sekiranya potensi ekonomi negara yang berasaskan sumber kekayaan dan tenaga kerja sedia maka Malaysia sepatutnya berada di depan negara-negara yang dulunya lebih mundur dari Malaysia tetapi kini menjadi contoh kepada dunia.

“Malaysia bermula pada garisan yang sama dengan negara-negara seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Malah, Malaysia berada di hadapan berbanding dengan Turki.

“Dalam tahun 1970an, Pendapatan Negara Kasar per kapita Malaysia sebanyak US $400 adalah jauh lebih tinggi berbanding Korea Selatan pada jumlah US $270 sahaja.

“Kelebihan ekonomi ini semakin terhakis dan merudum sejak tahun 1980, seperti yang dibuktikan oleh angka-angka perbandingan pendapatan negara kasar per kapita pada 2010 iaitu Korea Selatan (US$19,720) manakala Malaysia (US$7,760),” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Negara 2013 di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Keadaan itu membuktikan bahawa pendekatan ekonomi Kerajaan Umno-BN telah merosotkan daya saing negara dalam tempoh 30 tahun lalu hingga Malaysia jauh ditinggalkan Korea Selatan, walaupun kedua-dua negara bermula pada garis yang sama pada tahun 1980.

Tambahnya, Malaysia juga berhadapan risiko ditinggalkan oleh negara-negara Asia lain ekoran kegagalan Umno-BN merancang ekonomi negara dengan berhemah serta membanteras rasuah.

Tegasnya lagi, perubahan dan penambahbaikan ekonomi negara tidak boleh berlaku sekiranya tiada reformasi politik dan pentadbiran.

“Buku Jingga adalah dokumen jelas yang menggariskan bahawa matlamat pertumbuhan ekonomi perlu didokong oleh proses islah politik dan pentadbiran yang menyeluruh,” ujarnya.


Pengarang :