Selangorkini
SELANGOR

Keprihatin MCA Hanya Lakonan Menjelang PRU

SHAH ALAM, 25 OKT : Kerajaan Selangor sedia buktikan bahawa Kerajaan Umno-BN dahulu bertanggungjawab meluluskan pembinaan projek kabel bervoltan tinggi merentasi Taman Connaught dan beberapa kawasan perumahan di Cheras pada tahun 2007.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Hussin berkata, beliau mempunyai minit Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) 2007 dan bersedia mendedahkannya kepada umum selepas mendapat kebenaran kerajaan negeri.

Faekah berkata, MCA Bandar Tun Razak tidak layak menuding jari kepada kerajaan negeri sekarang kerana mereka langsung tidak mempertahankan hak rakyat apabila kelulusan dibuat pada 2007.

“Jangan menuding jari terhadap kerajaan negeri sekarang kerana kegagalan BN selaku kerajaan negeri yang tidak mempertahankan hak rakyat pada  2007,? katanya dalam sebuah kenyataan media.

Ujar Faekah, MCA Bandar Tun Razak sengaja memutar belit isu ini kerana mahu menutup kelemahan mereka.

Pada Okt 17, Setiausaha MCA Bandar Tun Razak, Niel Foo Seck Chyn mendakwa Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat, telah memberi kelulusan kepada TNB untuk meneruskan projek tersebut.

Walhal kata Faekah, Niel pada 17 Oktober lalu, telah mengaku kepada akhbar-akhbar bahasa Cina bahawa kelulusan projek ini diberikan oleh kerajaan negeri BN pada 2007.

?Kenyataan beliau ini telah dilaporkan hampir kesemua media berbahasa Cina, malah beliau tidak menafikan perkara ini.

“Siapakah pembohong besar dalam isu ini?,” soal Faekah.

Beliau berkata, Niel sengaja mahu rakyat keliru apabila menggunakan akhbar Selangor Times keluaran Disember 2011 bagi menunjukkan kerajaan menyokong projek ini.

Sedangkan akhbar yang sama pada Januari 2012 telah melaporkan kerajaan Selangor mengarahkan TNB menghentikan projek ini selepas mendapat bantahan masyarakat setempat.

“Ini membuktikan keprihatinan MCA hanyalah ?lakonan? semata-mata untuk menunjukkan mereka masih relevan sedangkan hakikatnya MCA seumpama kapal yang semakin karam,” kata Faekah.

Sebelum ini,Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) seharusnya mempertimbangkan bantahan penduduk dan tidak meneruskan projek pembinaan kabel berkuasa berkenaan.

Bagi menyelesaikan masalah ini satu perbincangan akan diadakan dalam masa dua minggu ini melibatkan TNB dan DBKL bersama penduduk di situ.


Pengarang :