Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Mohon Tangguh Pertukaran Pegawai Kewangan Negeri

SHAH ALAM, 17 OKT : Kerajaan Negeri memohon supaya pertukaran Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Ariff Abdul Rahman ke Putrajaya yang berkuatkuasa pada 15 Oktober lalu ditangguhkan buat sementara waktu.

Ini kerana kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Negeri sedang dalam proses menyiapkan Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan pada 19 November depan.

Bagaimanapun menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri bersedia untuk mengadakan perbincangan berhubung pertukaran pegawai tinggi negeri itu sejurus selesai pembentangan belanjawan nanti.

“Kerajaan Negeri bersedia mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa bagi membincangkan isu-isu melibatkan kakitangan awam termasuk perkara-perkara yang berkaitan sengan pertukaran pegawai tinggi kerajaan.

“Perbincangan ini diharap boleh menjadi satu permulaan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk bekerjasama pada masa hadapan tanpa diganggu masalah-masalah yang tidak sepatutnya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini petang tadi.

Sehubungan itu katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju supaya Kerajaan Negeri menulis surat rayuan kepada KSN supaya tidak melaksanakan pertukaran tersebut.

Tambahnya, Kerajaan Selangor tetap berpendirian bahawa sebarang pelantikan dan pertukaran tiga pegawai ex-officio iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri perlu dibincangkan terlebih dahulu bersama Menteri Besar supaya tidak menjelaskan pentadbiran negeri.

“Kerajaan Negeri menghormati keputusan KSN ini tetapi berharap pada masa hadapan, perlu diadakan perbincangan terlebih dahulu bersama Kerajaan selangor sekiranya melibatkan pertukaran pegawai tinggi kerajaan demi kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya lagi.

 


Pengarang :