Selangorkini
NASIONAL

Kerajaan Perlu Proaktif Bantu Umat Islam Di Myanmar

KUALA LUMPUR, 16 OKT : Kerajaan Pusat digesa mengambil pendekatan proaktif dalam menangani masalah kemanusian yang berlaku kepada umat Islam di Myanmar.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dalam masa yang sama Pakatan Rakyat (PR) mengalu-alukan perjanjian damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina.

Sebelum ini, Kerajaan Filipina dan MILF menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi di Istana Malacanang di Manila bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.

“Semoga segala perjanjian yang ditandatangani itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama pimpinan tertinggi PR di Parlimen.

Beliau berkata, jika kerajaan boleh berperanan dalam membantu masalah di Filipina maka ia bukan masalah untuk mengambil pendekatan sama terhadap penyelesaian umat Islam di Myanmar yang terlibat dalam persengketaan konflik untuk diselesaikan secara aman.

“Kita mahu juga diberi perhatian masalah di Selatan Thailand untuk diadakan perdamaian,” katanya.

Abdul Hadi juga mendesak agar kerajaan memainkan peranan dan fungsinya dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi membela nasib umat Islam di sana.


Pengarang :