SELANGOR

Kerajaan Pusat Gagal Semak Harga Rumah di Selangor

SHAH ALAM, 18 OKT : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan didakwa gagal menyemak harga jualan maksima yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor sewaktu meluluskan lesen pemaju perumahan.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Kerajaan Negeri mensyaratkan bahawa Rumah Kos Rendah hanya boleh dijual dengan harga maksima RM42,000, Rumah Kos Sederhana Rendah bernilai RM72,000 dan Rumah Kos Sederhana dengan nilai RM100,000.

Namun, menurut Iskandar, terdapat kes-kes di mana kementerian berkenaan meluluskan harga jualan melebihi dari harga maksima untuk Rumah Kos Sederhana.

“Sebagai contoh, terdapat Rumah Kos Sederhana di Bukit Subang, Shah Alam yang diberi kelulusan untuk dijual dengan harga sehingga RM220,000 sebuah, di mana nilainya RM120,000 lebih tinggi daripada harga yang diluluskan Kerajaan Negeri.

“Oleh yang demikian, Kementerian Perumahan perlu menyemak semula harga jualan maksima yang diluluskan Kerajaan Negeri sebelum meluluskan lesen pemaju,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, sekiranya pemaju gagal membina menurut kelulusan Kerajaan Negeri, para pembeli akan menghadapi masalah untuk mendapatkan surat hakmilik.

“Kerajaan Pusat mengumumkan bahawa mereka akan memberi penekanan kepada pembinaan Rumah Mampu Milik tetapi Kementerian Perumahan pula mengeluarkan lesen yang membenarkan pemaju menjual dengan harga yang lebih tinggi daripada yang diluluskan. Oleh itu, kementerian berkenaan perlu bertanggungjawab,” katanya.


Pengarang :