Selangorkini
SELANGOR

Kuala Selangor Akan Punyai ‘Starbucks’, Bazaar Tekstil Ala Jalan Tunku Abdul Rahman

BESTARI JAYA,6 OKT : Penduduk Kuala Selangor pada masa akan datang tidak perlu mencari pekerjaan dan kemudahan di luar daerah itu apabila ia dibangunkan sejajar dengan bandar pesat seperti Klang dan Shah Alam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dalam 10 ke 20 tahun akan datang, daerah-daerah di Selangor akan dijadikan kawasan bandaran yang mempunyai kemudahan lengkap dan penempatan yang mencukupi.

“Kita tidak mahu orang di Kuala Selangor terpaksa bekerja di Kuala Lumpur.

?Dia boleh bekerja di situ (Kuala Selangor) dan mungkin gajinya lebih baik daripada Kuala Lumpur di mana berjam-jam terpaksa di dalam perjalanan menaiki kenderaan.

“Kalau hendak minum teh yang berjenama seperti Starbucks pun boleh ada di Kuala Selangor jadi tidak payah pergi di tempat-tempat lain,” kata Abdul Khalid semasa perasmian Dataran Anak Muda DUN Ijok di sini.

Ujar Abdul Khalid, pembangunan itu akan meletakkan Daerah Kuala Selangor seiring dengan kemajuan pesat yang diterima di daerah-daerah lain seperti di Klang dan Shah Alam.

“Jadi kalau kita berjalan di Kuala Selangor pun seolah-olah berjalan di Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur untuk mencari pakaian yang berjenama.

“Kuala Selangor sendiri akan menjadi bandaran yang lengkap. Itu objektif dan perancangan kita untuk memastikan semua kemudahan wujud seperti hospital, sekolah dan pusat komersil yang terbaik” kata Abdul Khalid.


Pengarang :