Selangorkini
Pelbagai

Kurang 30 Peratus Rakyat Miskin Terima Bantuan Kerajaan

KUALA LUMPUR, 1 OKT : Hanya 27 peratus dari golongan 10 peratus termiskin negara menerima  bantuan Kerajaan, walaupun Umno-BN mendakwa kononnya pelbagai program kebajikan telah diadakan untuk rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peratusan itu diperolehi dari Kajiselidik Isirumah yang dibuat pada tahun 2009 dan dilaporkan di dalam Malaysia Economic Monitor April 2012.

Beliau berkata, hakikat bahawa hanya 27 peratus dari golongan yang wajar dibantu dan termiskin mendapat manfaat dari program kerajaan mencerminkan ketirisan yang berterusan.

“Hubungan rapat di antara kroni, golongan mahakaya dan berkepentingan dengan kerajaan menyebabkan hanya mereka diberi peluang untuk memainkan peranan besar,? katanya semasa sesi perbahasan Bajet 2013 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Pembolotan ekonomi seperti ini memberi impak buruk kepada percambahan usahawan baru yang tawar hati dan tidak mungkin dapat bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai talian terus kepada pimpinan tertinggi negara.”

Katanya, kewujudan konsesi dan perjanjian berat sebelah telah menindas rakyat dan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos berganda.

Jelasnya, ketirisan yang terus berlaku menyebabkan bantuan atau insentif yang sepatutnya sampai kepada golongan atau kumpulan sasaran ini dicuri di tengah jalan.

“Mulanya, rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang melambung kerana konsesi-konsesi ini berbentuk monopoli dan mengherot harga sebenar di dalam pasaran.

“Kemudian, rakyat juga terpaksa menanggung kos yang dibayar kerajaan yang memberi pelbagai bantuan kepada konsesi yang dianugerahkan kepada kroni dan golongan mahakaya ini, termasuklah pampasan, subsidi korporat dan lain-lain,” katanya lagi.


Pengarang :