Selangorkini
SELANGOR

Lapan Agensi Kerajaan Negeri Terima Imbuhan Tanda Penghargaan

SHAH ALAM, 16 OKT : Sejumlah RM20,000 akan diberikan kepada lapan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri kerana mencapai prestasi pengurusan memberangsang(sangat baik) seperti yang dilapor dalam  Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Lapan agensi tersebut ialah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam, Pejabat Menteri Besar/Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan Perbendaharaan Negeri Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kejayaan yang dicapai kesemua agensi terbabit amat membanggakan berbanding tahun 2010 di mana hanya empat jabatan dan agensi negeri mendapat penarafan empat bintang.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa kakitangan Kerajaan Negeri semakin memahami hasrat Kerajaan Selangor yang mahukan pentadbiran negeri diurus secara telus dan bertanggungjawab terutama melibatkan pengurusan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai usaha Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) iaitu anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang menguruskan Universiti Selangor (Unisel).

Ini kerana katanya, PIYSB berjaya melaksanakan pelbagai pembaikan terhadap kelemahan yang dikesan pada tahun 2010 selain memperbetulkan masalah pentadbiran yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, kejayaan itu termasuklah penambahan pengambilan pelajar yang meningkat kepada 11,880 orang pada Oktober 2012 berbanding 9,902 pada Oktober 2011.

Selain itu menurutnya, proses timbang tara antara Kerajaan Negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dengan Jana Niaga Sdn Bhd juga akan mencapai keputusan positif.

“Kerajaan Negeri  menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan kerana sebelum ini audit dalaman tidak berfungsi dan Unisel terpaksa menggunakan khidmat audit luar. Audit kewangan Unisel bagi tahun 2008, 2009 dan 2010 telah siap ditandatangani dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan diadakan pada hujung tahun ini.

Sebelum tahun 2008, laporan audit kewangan Unisel tidak pernah dibuat.

“Justeru, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif ini untuk memastikan wang rakyat yang digunakan untuk mengurus Unisel ditadbir secara telus dan bebas penyelewengan,” katanya lagi.


Pengarang :