Selangorkini
SELANGOR

Laporan Audit – 30 Jabatan Kerajaan Akan Dipanggil

KUALA LUMPUR, 15 OKT – Sebanyak 30 Jabatan Kerajaan akan dipanggil memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung salah laku yang dikesan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, beliau berpuas hati dengan peningkatan prestasi kewangan negara namun masih terdapat kelemahan di beberapa bahagian.

“Kita dapati masih terdapat kelemahan di bahagian pengurusan kontrak, peralatan dan penyelengaraan bangunan bagaimanapun ada peningkatan.

“Supaya tiada kekeliruan, PAC akan memanggil jabatan tertentu untuk siasatan lanjut,” katanya selepas mendengar penerangan daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Azmi memberitahu, hampir 30 jabatan kerajaan yang dikenalpasti bermasalah.

“Yang ada masalah banyak, tetapi kita akan panggil kes-kes besar dahulu, lebih kurang 30 buah jabatan kerajaan.

“Kita akan panggil mereka secepat mungkin dalam tahun ini juga,” katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut bentuk kelemahan yang dikenalpasti, pihaknya tidak dapat memberitahunya lagi kerana masih belum selesai meneliti keseluruhan laporan Audit Negara 2011.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 menunjukkan Jabatan Audit Negara mengemukakan 547 teguran kepada agensi Kerajaan Persekutuan.

Selain itu 97 badan berkanun persekutuan dan 534 kerajaan negeri juga di beri teguran bagi tujuan pembetulan dan penambahbaikan.

Ambrin berkata, ketua jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan.

“Kementerian Kewangan juga telah mengeluarkan laporan maklum balas mengenai tersebut yang memberikan ulasan atau tindakan terkini daripada ketua jabatan terhadap isu-isu yang dilaporkan,” katanya.

Menurut Ambrin, berdasarkan pengauditan terhadap 456 penyata kewangan kerajaan dan agensinya pada 2011, sebanyak 388 atau 85.1 peratus penyata kewangan diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

“Manakala sebanyak 25 atau 5.5 peratus penyata kewangan diberikan Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya.

“Bakinya iatu sebanyak 43 atau 9.4 peratus penyata kewangan masih dalam proses pengauditan,” katanya.


Pengarang :