Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Lima Aset Komersil Kekal Milik PKNS

SHAH ALAM 27 OKT : Lima aset komersil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu SACC Mall, Shah Alam; Menara PKNS, Petaling Jaya; Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi, serta Wisma Yakin, Kuala Lumpur masih kekal milik PKNS.

Perkara ini dinyatakan Timbalan Pengurus Besar(Korporat) PKNS, Datin Paduka Norazlina Zakaria dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, PKNS sekarang sedang dalam proses menyelaraskan aktiviti-aktiviti teras Kumpulan PKNS.

“Salah satu daripada inisiatif korporat yang sedang dilaksanakan adalah penubuhan sebuah syarikat milik penuh PKNS, Private Real Estate Company (PREC), yang akan memfokuskan kepada pelaburan dan pengurusan hartanah.

Sebagai menepati tadbir urus korporat yang telus, penubuhan anak syarikat ini (PREC) dan pindah milik aset-aset komersil PKNS kepada PREC mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Kewangan dan Lembaga Pengarah PKNS yang turut diwakili oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Tambahnya, pihak Kementerian Kewangan juga memberikan kelulusan bertulis bagi maksud di atas.

Pada masa yang sama, PKNS ingin mengesahkan pelaburannya di dalam saham Genting Sanyen Power Sdn Bhd dan KESAS Bhd masih kekal.
Namun begitu, PKNS akan senantiasa menilai portfolio pelaburan dari masa ke semasa dan bersedia mempertimbangkan sebarang tawaran yang memberikan pulangan yang munasabah kepada PKNS.


Pengarang :