Pelbagai

Loji Pembersihan Air Sungai Sireh Kini Beroperasi 100 Peratus

SHAH ALAM, 19 OKT : Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Sireh di Tanjong Karang kini beroperasi 100 peratus untuk memproses air bagi bekalan air bersih kepada kira-kira 30,000 penduduk di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat berkata, LPA Sungai Sireh kini mampu memproses air bersih sebanyak 21 juta liter sehari (JLH).

“Paras air di muka sauk LPA Sungai Sireh pada 18 Oktober 2012 adalah pada bacaan 1.1 meter berbanding paras kritikal 0.20 meter.

“Rekod aliran air Sungai Bernam melalui pemantauan aliran air di Jambatan Sungai Bernam SKC adalah tinggi iaitu pada jumlah 141.95 meter padu sesaat,” kata Khairi dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau lagi, bacaan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam (BRH) juga tinggi pada paras 10.20 meter dengan kesemua Kawasan Pengairan Berperingkat (ISA) penanaman padi menerima bekalan penuh.

Katanya, ban sungai yang pecah yang dipercayai menyebabkan aliran Sungai Bernam tidak sepenuhnya melalui Bernam River Headworks (BRH) sedang dalam pembaikan.

“Pihak IADA Barat Laut memaklumkan kerja-kerja pembaikan ban sungai tersebut sedang dijalankan dan akan dipercepatkan,” katanya.

Sebelum ini, lebih 30,000 pengguna air terutamanya pesawah di Tanjong Karang dan Sekinchan dikhuatiri terjejas kerana LPA Sungai Sireh di sini berdepan penyusutan lebih 50 peratus di terusan utama Sungai Sireh sejak beberapa minggu lalu.

Penurunan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam (BRH) yang menempatkan loji pembersihan Sungai Sireh itu disebabkan oleh ban sungai yang pecah berhampiran Jambatan Sungai Bernam SKC.

Ia menjadi antara punca penurunan paras air untuk loji pembersihan Sungai Sireh yang membekalkan air bersih dan kegunaan sawah padi di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan

Kerajaan Negeri mengarahkan pihak Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor untuk menyegerakan pembaikan ban Sungai Bernam SKC yang pecah itu bagi memastikan aliran air ke sawah-sawah dan Loji Pembersihan Air Sungai Sireh tidak terjejas.


Pengarang :