Selangorkini
Uncategorized

LUAS Akan Guna Pam Agih Air Ke Kawasan Padi

SHAH ALAM 9 OKT : Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menggunakan pam untuk membolehkan air diagihkan ke kawasan penanaman padi di sekitar Kuala Selangor.

Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar penurunan paras air di Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Sireh sejak seminggu lalu.

Katanya, paras kritikal muka sauk LPA Sungai Sireh adalah pada paras 0.20 meter. Buat masa ini, paras air di muka sauk berada pada paras 0.05 meter di bawah paras kritikal.

Beliau berkata, setakat ini, LPA Sungai Sireh terpaksa mengurangkan kapasiti pemprosesan air kepada tahap 40 peratus.

“Operasi biasa LPA Sungai Sireh memproses 21 juta liter sehari (JLH) air bersih dan mampu untuk memproses sehingga 27 JLH bagi membekalkan air bersih kepada penduduk di sekitar kawasan Tanjong Karang.

“Keperluan pengairan padi adalah di antara 4 hingga 9 meter padu sesaat bergantung kepada peringkat kawasan penanaman.

“Namun, rekod aliran air Sungai Bernam pada 8 Oktober(semalam) masih lagi tinggi iaitu pada jumlah 2083 JLH. Bacaan paras air di Bernam River Headworks (BRH) juga di atas paras kritikal iaitu 4.2 meter berbanding 3.5 meter.

“Akan tetapi, air tidak mencukupi di muka sauk loji dan kawasan penanaman padi.

“Justeru, kesemua enam pintu air di BRH telah dibuka untuk kemasukan air bagi meningkatkan paras air tersebut,” katanya kepada TV Selangor dalam satu kenyataan media.

Khairi bagaimanapun menjelaskan paras air di LPA lain setakat ini masih berada dalam keadaan normal dan di atas paras kritikal serta operasi bagi kesemua LPA berjalan seperti biasa.

Tambahnya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, tinjauan cuaca bagi 1 hingga 10 Oktober 2012 menunjukkan peningkatan hujan terutamanya di kawasan pertengahan Semenanjung Malaysia di antara 10 mm hingga ke 70 mm daripada kadar biasa curahan air hujan.

Peralihan musim kering (Monson Barat Daya) ke musim hujan (Monson Timur Laut) bermula pada bulan Oktober juga menunjukkan peningkatan kadar hujan yang diterima.

Manakala, mengikut ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meterologi mendapati, hujan akan berlaku di seluruh Selangor bermula 8 hingga 14 Oktober depan terutama di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Ahad lalu, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan kaedah pembenihan awan bagi mempertingkatkan penurunan hujan.

Ia akan dilaksanakan apabila kapasiti Empangan Sungai Selangor mencecah tahap 45 peratus yang mana dijangkakan di dalam tempoh 21 hari bermula daripada 2 Oktober 2012.


Pengarang :