NASIONAL SELANGOR

LUAS : Baiki Ban Pecah, Jamin Bekalan Air Tidak Terjejas

SHAH ALAM,10 OKT : Penurunan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam (BRH) yang menempatkan loji pembersihan Sungai Sireh disebabkan oleh ban sungai yang pecah berhampiran Jambatan Sungai Bernam SKC.

Ban sungai yang pecah ini menyebabkan aliran Sungai Bernam tidak sepenuhnya melalui Ibu Ampangan Sungai Bernam.

Ia menjadi antara punca penurunan paras air untuk loji pembersihan Sungai Sireh yang membekalkan air bersih dan kegunaan sawah padi di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat berkata, ekoran kejadian itu pihak Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut akan mempercepatkan pembaikan ban sungai tersebut.

Katanya, dalam masa yang sama, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menggunakan pam bagi diagihkan ke kawasan penanaman padi yang mengalami masalah kekurangan air.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bekalan air bersih ke kawasan di Sekinchan dan Tanjong Karang yang melibatkan kira-kira 30,000 pengguna tidak akan akan terjejas.

“Susunan pengagihan dari loji lain akan dilaksanakan untuk menampung kekurangan bekalan air di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menjelaskan, rekod aliran air Sungai Bernam pada 10 Oktober melalui pemantauan aliran air di Jambatan Sungai Bernam SKC masih lagi tinggi pada jumlah 24.11 meter padu sesaat.

Malahan bacaan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam juga masih tinggi iaitu pada paras 9.38 meter berbanding 9.6 meter paras bekalan penuh.

Katanya, Sungai Bernam yang menjadi garis sempadan di antara Negeri Selangor dan Perak merupakan sumber bekalan air bagi pengairan padi dan juga sebagai sumber bekalan air bersih melalui loji pembersihan air (LPA) Sungai Sireh.

“Operasi biasa Loji Pembersihan Air Sungai Sireh memproses 21 juta liter sehari (JLH) air bersih dan mampu untuk memproses sehingga 27 JLH.

“Ini adalah kali pertama kes sebegini berlaku. Kesemua enam pintu air di Ibu Ampangan Sungai Bernam dibuka untuk kemasukan air bagi meningkatkan paras air di terusan bekalan (feeder canal),” katanya.

 


Pengarang :