Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Majlis Petroleum Negara Akan Ditubuh Jika PR Memerintah

SHAH ALAM,3 OKT : Majlis Petroleum Negara akan ditubuhkan sebaik sahaja Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Putrajaya jika rakyat memberi peluang kepada gagasan itu dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Exco Kelantan,Datuk Husam Musa berkata,ianya adalah bagi memastikan Kerajaan PR dapat merintis sistem pengurusan kewangan berhemah dari hasil petroleum negara bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin dan hasil negara diurus dengan baik.

Katanya,rakyat di Sabah dan Sarawak juga akan mengalami perubahan besar khususnya dalam mempertingkatkan sosio ekonomi dan kemudahan asas negeri itu jika berjaya menukar kerajaan di peringkat pusat.

“Jika Petronas meletakkan 2.5 peratus kepada zakat maka ia akan banyak membantu membasmi kemiskinan rakyat.

“Akta Petroleum 1974 tidak terpakai kerana Kelantan adalah sebuah negara berdaulat,” kata Husam dalam pidato sempena persinggahan Konvoi Mega Royalti Ke Putrajaya.

Katanya,sehingga kini kerajaan pusat perlu membayar tunggakan royalti kepada Kelantan berjumlah RM10.4 bilion.

Sementara itu,Ketua Umum PKR,Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,apabila Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya maka empat buah negeri yang berhak mendapat royalti akan dikembalikan sebanyak 20 peratus.

Katanya dalam Belanjawan 2013 yang dibentangkan PR lalu, syarikat minyak milik kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak akan ditubuh bagi memastikan hasil daripada sumber itu kembali kepada rakyat negeri terbabit

“Pihak pimpinan Umno BN tidak boleh dipercayai akan mengembalikan royalti itu kembali. Semoga ada kebangkitan rakyat,ini harapan kita untuk membela rakyat,” kata Anwar.

Kira-kira 5,000 berhimpun di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi. Manakala Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai solat hajat dan munajat.

Kira-kira 600 buah kereta dari Kelantan menyertai konvoi itu yang akan memberikan sokongan moral kepada kes perbicaraan tuntutan royalti minyak yang kini dibicarakan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat memberikan sokongan penuh gerakan tuntutan royalti ini bagi memastikan hak yang dinafikan kerajaan pusat sebelum ini dikembalikan kepada rakyat.

Kata Nik Aziz, sikap kerajaan pimpinan Umno-BN itu seolah-olah bertindak seperti pihak Zionist Israel dan Amerika Syarikat yang memusuhi gerakan-gerakan Islam dengan memberi tekanan kepada negeri-negeri yang dipimpin pemimpin Islam.

Abdul Hadi dalam ucapannya menegaskan penafian hak royalti minyak kepada negeri-negeri yang berhak adalah satu pengkhianatan.

Ujar beliau, duit royalti yang dirampas merupakan wang haram kerana ia merupakan amanah rakyat.


Pengarang :