Selangorkini
SELANGOR

Masalah Kilang Haram Sungai Buloh Selesai Akhir Tahun

SHAH ALAM, 19 OKT : Pengusaha kilang haram di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini diberi sehingga akhir Disember ini bagi mendaftarkan kilang mereka secara sah dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Manakala perbincangan akan diadakan dengan tuan tanah tapak kilang-kilang tersebut bagi menukarkan status tanah tersebut dari pertanian ke industri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, proses pemutihan kilang haram boleh menyebabkan perniagaan bertambah maju dan berkembang pesat di situ.

Menurutnya, pertukaran status tanah dari pertanian kepada industri juga menaikkan nilai tanah dan memberi pulangan yang lebih kepada penduduk yang menyewakan tanah mereka kepada pengilang.

?Kita perlu betulkan sistem yang ada supaya perniagaan dijalankan mengikut cara yang betul.

“Kalau kita tidak betulkan banyak akan menjadi masalah. Perniagaan tidak boleh dijalankan secara efisyen begitu juga sistem pengangkutan termasuk segala aktiviti berkaitan.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Dialog Bersama Pengusaha Kilang Seksyen U4 dan U19 Kampung Baru Sungai Buloh di Dewan Bankuet MBSA semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dan Pegawai Daerah Petaling, Datuk Zulkifli Ahmad.

Abdul Khalid berkata kelonggaran pembayaran cukai akan diberikan kepada penduduk yang premium tanahnya meningkat apabila statusnya ditukar daripada pertanian kepada industri.

Pemutihan kawasan kampung tersebut bermula pada 2006 dan berakhir pada 31 Disember ini.

Mohd Jaafar berkata, MBSA akan mengadakan perbincangan dengan penduduk dan pengusaha kilang bermula November ini bagi penyelesaian perkara itu.

Kebanyakan pengusaha kilang yang menjalankan perniagaan di situ adalah penyewa kepada pemilik tanah iaitu penduduk kampung tersebut di mana status asalnya adalah pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Baru Sungai Buloh, Hoo Sook Wan berkata, penyelesaian masalah kilang haram ini sudah lama ditunggu seramai lebih 5,000 penduduk kampung berkenaan.

“Bayaran secara sewa itu memang betul. Saya rasa sistem sewa untuk mereka itu lebih bagus berbanding sewa di luar bandar iaitu luar dari kampung ini,” katanya.

Manakala bagi pengusaha kilang Galaxy Decoland Sdn Bhd, Tee Wan Keong, proses pemutihan akan mengalakkan pembinaan infrastruktur di kawasan tersebut.


Pengarang :