Selangorkini
NASIONAL

MB : Hina Islam Presiden MCA Amal Politik Murahan

SHAH ALAM, 23 OKT : Tindakan mempelekehkan hukum hudud oleh Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek disifatkan sebagai satu penghinaan besar kepada agama Islam dan umatnya di seluruh dunia, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin negara, beliau (Soi Lek) seharusnya menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam di antara perbezaan pegangan agama dan bukannya membuat kenyataan berbaur sensitif.

Beliau berkata, tindakan itu akan menggugat hubungan diplomatik negara dengan negara-negara majoriti Islam seperti Indonesia dan Timur Tengah.

“Pemimpin Malaysia seharusnya bersatu dengan pemimpin-pemimpin dunia untuk mengutuk kenyataan menghina Soi Lek terhadap Islam dan umat Islam.

“Tindakan memperkecilkan orang lain dan menggunakan agama dalam cubaan memalukan perjuangan parti lain disifatkan sebagai politik murahan dan gagal mencerminkan kematangan beliau sebagai pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, Soi Lek mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.

Sementara itu, pada ucapan di perhimpunan Agung MCA ke-59 yang berlangsung Ahad lalu, Soi Lek berkata, lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

Tambah Abdul Khalid, tindakan berdiam diri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan sikap hipokrit Umno-BN yang mengamalkan bangsa berasaskan politik dan kuasa semata-mata.

Justeru, terdapat keperluan untuk mengadakan dialog secara terbuka dalam usaha mencapai persefahaman terutama di kalangan komuniti yang berbeza latar belakang.

“Hanya melalui tindakan berkenaan kita bersama-sama dapat membina sebuah masyarakat yang matang mengenai masa depan negara kita,” katanya lagi.


Pengarang :