Selangorkini
SELANGOR

MB : Kerajaan Negeri Kaji Kaedah Rawatan Air Lebih Murah

SHAH ALAM, 15 OKT : Kerajaan Negeri sedang mengkaji kaedah rawatan air yang lebih berkesan dan murah supaya ia tidak perlu membina loji mega Langat 2, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, kaedah alternatif dari Kanada itu menggunakan teknologi membran bagi meningkatkan pengeluaran air dari loji rawatan air yang sedia ada.

Teknologi tersebut akan membolehkan infrastruktur rawatan air di Selangor mengeluarkan air yang cukup untuk masa depan tanpa kenaikan harga kepada pengguna.

“Kos penyediaan rawatan air ini tidak melebihi RM 800 juta berbanding kos pembinaan Langat 2 yang akan menelan belanja kira-kira RM3 bilion.

“Kaedah baru ini mampu menambah pengeluaran jumlah air terawat sebanyak 1 juta liter sehari iaitu jumlah sama seperti yang disasarkan melalui Langat 2,” katanya.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Pusat bagi membincangkan kaedah baru tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa teknologi itu mengambil air dari beberapa loji rawatan dan merawat mereka secara berasingan dan bukannya melakukan semua kerja-kerja dari satu loji utama, seperti Langat 2.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menganggarkan bahawa ia terpaksa menaikkan harga air sebanyak 12 peratus bagi membiayai kos pembinaan loji Langat 2.


Pengarang :