Selangorkini
SELANGOR

MB : Laluan Damansara Damai akan Ditambah

PETALING JAYA, 17 OKT : Masalah kesesakan lalulintas yang dihadapi penduduk di Damansara Damai akan diselesaikan segera dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini sedang melengkapkan kajian serta meneliti kawasan sesuai bagi mewujudkan laluan alternatif.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerjasama semua pihak terlibat seperti pemaju di kawasan berhampiran amat perlu bagi merealisasikan perancangan itu.

Abdul Khalib memberitahu walaupun Kerajaan Negeri berkuasa mengambil tanah tanpa persetujuan tetapi beliau tidak akan melakukan demikian.

“Kita mesti bersikap adil dengan buat kajian dan sebagainya. Kalau dia (pemaju) pergi ke mahkamah mengatakan kita tidak adil maka kita cakap kalau tidak bagi kawasan tanah dia lagi tidak adil pada semua orang,” katanya dalam majlis perjumpaan dengan penduduk di Sutera Damansara di sini semalam.

Isu tersebut dikemukakan Pengerusi Persatuan Penduduk Saujana Damansara, Zainon Othman dengan mengatakan penduduk mendiami kawasan Damansara Damai, Saujana Damansara dan Sutera Damansara hanya mempunyai satu laluan masuk dan keluar yang menyebabkan masalah kesesakan laluan lintas sepanjang hari.

Zainon menjelaskan adalah tidak lojik dengan penduduk kira-kira 80,000 orang di kawasan itu yang hanya mempunyai satu laluan jalan raya.

Sementara itu. Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib berkata, perancangan sedang dijalankan pihaknya bagi mengatasi masalah tersebut dan perbincangan juga sedang diadakan dengan pihak pemaju Sri Damansara di kawasan berhampiran namun belum mencapai kata putus.

“Kita sedang mengkaji berhubung perkara ini dan jika perlu dilaksanakan maka kita akan jalankan pembinaan akses baru ini,” katanya.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri merangkap Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.


Pengarang :