Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

MB Rasmi Kolokium Penyelidikan Pertama Unisel

SHAH ALAM 2 OKT : Pentadbiran universiti tempatan seharusnya mengutamakan bidang penyelidikan dan inovasi dalam usaha menjadikan institut pendidikan tinggi tersebut bertaraf antarabangsa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Kolokium Penyelidikan Unisel 2012 dan Pelancaran ‘Unisel Researcher-Fren Facebook’ di Kampus Unisel di sini pagi tadi.

“Bukan setakat (menambah) ilmu sahaja, penyelidikan mampu menjana daya pemikiran dan keupayaan intelektual tinggi.

“Kita harus memikirkan nilai sesebuah universiti dari segi hasil yang diperolehi melalui mahasiswa, bukan keuntungan,” jelasnya di hadapan lebih 400 tetamu yang hadir.

Kolokium ini merupakan kali pertama dianjurkan Unisel melibatkan 500 peserta terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan wakil industri.

Kira-kira 100 kertas kerja meliputi empat kluster akan dibentangkan dalam kolokium penyelidikan yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Antaranya kluster Penyelidik Geran Industri, Penyelidik Geran Kerajaan, Penyelidik Pengajian Pasca Siswazah secara penyelidikan serta beberapa penyelidik Unisel yang sedia ada.

Menteri Besar turut menyampaikan sijil kepada sembilan penerima geran penyelidikan iaitu Dr. Mohd Fadzil Shuhaimi Ramli, Ainil Hawa Sazali, Rosyida Mohd Razlan dan Roshani Othman.

Selain mereka, turut menerima geran ialah Prof. Sharr Azni Harmin, Prof. Dr. Mohd Zaidi Mohd Hajazi, Prof Dr. Aziah Mohd Yusoff, Dr. Ting Chek Ming serta Prof. Dr. Mujaini Tarimin.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Pendidikan Tinggi, Dr. Halimah Ali serta pemangku Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad.


Pengarang :