Selangorkini
SELANGOR

MB : Task Force Bebas Diwujud Bagi Nasihat Pembangunan Batu Caves

BANDAR TUN RAZAK, 28 OKT : Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa task force’ bebas bagi memberikan pandangan dan nasihat berhubung pelaksanaan pembangunan di sekitar Batu Caves.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, melalui task force ini diharap akan memberikan nasihat yang adil dan saksama berkenaan pelaksanaan pembangunan yang sesuai dilakukan di kawasan itu yang berhampiran dengan kuil Batu Caves.

“Kita akan menilai dari semua segi samada pembangunan itu menurut undang-undang pembangunan, saya tidak memberikan apa-apa jawapan sehingga kita kaji dan meneliti.

“Ia akan mengambilkira bagaimana pembangunan itu boleh dilakukan dengan terbaik kerana Batu Caves ini adalah sebuah tempat yang sangat dihargai oleh masyarakat Hindu di mana kuilnya telah didirikan beberapa pembangunan,” kata Abdul Khalid dalam sidang media di Program Jelajah Bas Merdeka Rakyat di sini.

Abdul Khalid berkata, beliau akan membuat kajian dan menggunakan kepakaran semua berhubung isu pembangunan itu bagi mengelakkan sebarang spekulasi daripada mana-mana pihak.

“Ini adalah cara yang dibuat oleh Pakatan Rakyat selama empat tahun jadi kita menghormati keputusan yang dibuat oleh pihak yang lepas tetapi mesti mengikut syarat-syarat dan undang-undang,” kata Abdul Khalid.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dalam sidang medianya mendedahkan dokumen lengkap “Kebenaran Merancang” yang diluluskan pada 30 November 2007 dalam persidangan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC).

Ronnie juga membidas bekas ahli majlis Perbandaran Majlis Selayang (MPS) kerana berlakon tidak tahu tentang projek kondo, Dolomite Park Avenue tersebut.

Projek Dolomite Park Avenue oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu Caves ini dianggap sebagai sensitif memandangkan kawasan tersebut merupakan tumpuan masyarakat Hindu beribadat.


Pengarang :