Selangorkini
SELANGOR

MB : Teknologi Membran Lagi Murah dan Praktikal

SHAH ALAM, 23 OKT : Penggunaan teknologi penapisan air membran untuk merawat bekalan air di Selangor dianggarkan 1 / 3 lebih murah daripada kos pembinaan loji rawatan mega Langat 2.

Teknologi daripada Kanada itu kata Menteri Besar Selangor lebih praktikal dan menjimatkan daripada Langat 2 yang dianggarkan menelan kos RM 3 bilion.

Abdul Khalid berkata, kos penggunaan teknologi membran adalah kurang daripada RM1 bilion untuk dipasang di 10 buah loji strategik kerana tidak semua 27 loji memerlukannya.

Ini menyangkal dakwaan daripada Kerajaan Pusat bahawa teknologi tersebut tidak praktikal bagi Selangor, sekaligus menjustifikasikan Langat 2.

Menurut Abdul Khalid teknologi membrane telah mengalami perkembangan pesat yang menawarkan kos pembinaan yang lebih rendah.

“Teknologi ini sangat kompetitif dan sekarang digunakan untuk memproses air laut menjadi air mentah di beberapa negara di Timur Tengah,” katanya.

“Kini telah terdapat lapan buah negara yang sudah memasarkan teknologi itu sedia ada,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Lembu-Lembu Korban di Pekarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Tambah beliau, Singapura juga turut bercadang menggunakan teknologi membran dalam tempoh 30 tahun akan datang supaya ia tidak perlu mengimport air daripada Johor.

Ujar beliau, teknologi itu juga lebih mesra alam berbanding Langat 2 yang memerlukan kerajaan negeri menebuk Banjaran Titiwangsa bagi membina terowong untuk mensalurkan air daripada Pahang.

Abdul Khalid berkata, teknologi itu juga mampu menambahkan satu juta meter padu sehari air terawat pada kadar 1/3 daripada kos Langat 2.

“Purata keperluan air di Selangor dan Lembah Klang adalah sekitar empat juta meter padu sehari tetapi bekalan yang sampai kepada pengguna hanyalah tiga juta meter padu kerana satu juta meter padu ?hilang? atau Non Revenue Water (NRW),” kata Abdul Khalid.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata teknologi membran tidak praktikal untuk Selangor.

Menjawab dakwaan Muhyiddin, Abdul Khalid berkata Kerajaan Selangor boleh memanggil perunding daripada Kanada untuk memberi taklimat kepada Muhyiddin dan pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Kerajaan negeri tidak menentang Loji Langat 2 tetapi perlu disertakan sebagai pakej penyusunan semula industri perkhidmatan air yang terbantut kerana tiada kerjasama dari kerajaan Pusat dan syarikat konsesi.

“Penyusunan semula perkhidmatan air di Selangor adalah penyelesaian menyeluruh yang membolehkan pengguna menerima perkhidmatan bekalan air lebih efisien pada harga munasabah,” katanya.


Pengarang :