Selangorkini
NASIONAL

MB : Tiada Masalah SPRM Siasat Pembelian Kompaktor

SHAH ALAM 2 OKT : Kerajaan Selangor menyambut dengan terbuka tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian kompaktor sampah oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sikap terbuka ini merupakan sebahagian daripada amalan pentadbiran korporat Kerajaan Negeri.

“Kita terima kenyataan bahawa dalam usaha memastikan negara dan negeri bebas daripada sebarang penyelewengan, kita perlu diaudit dan dinilai.

“Saya sendiri perlu diperiksa dari segi saya bayar cukai atau tidak, kereta apa saya pakai kerana saya adalah harta awam sebagai seorang Menteri Besar,” jelas beliau selepas Majlis Perasmian Kolokium Penyelidikan Unisel 2012 di sini pagi tadi.

Kerajaan Negeri sebelum ini membeli 50 kompaktor sampah melalui KDEB dengan harga mencecah RM 14.5 juta.

Namun ada pihak yang mempertikaikan pembelian tersebut dengan mendakwa kompaktor tersebut berharga kurang RM 240,000 sebuah.

“Kita sememangnya bersedia sebab itu kita menyimpan dua fail dengan rekod yang sama, satu untuk simpanan SPRM dan satu lagi untuk kita bagi memudahkan kerja,” tambah Abdul Khalid sinis.

Mengulas permintaan 350 penduduk miskin yang memohon agar Kerajaan Negeri mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melupuskan hutang rumah mereka, beliau berkata Kerajaan Negeri akan meneliti perkara tersebut.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh berbuat begitu (melupuskan hutang), jika tidak semua orang akan mengaku fakir dan miskin.

“PKNS juga tidak melangsaikan atau menghapuskan hutang Talam (Corporation) sebagaimana diminta mereka, itu tidak benar,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat tidak dijadikan alat untuk menjayakan propaganda pihak-pihak tertentu.

“Saya harap masyarakat tidak dimainkan dan jika benar mereka memerlukan, kita akan tolong,” ujarnya ringkas.


Pengarang :