Selangorkini
SELANGOR

MBPJ Bakal Laksana Operasi Clamping

PETALING JAYA, 31 OKT : Bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan meletakkan kenderaan di tempat yang sepatutnya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan operasi mengunci tayar kenderaan (clamping) di kawasan seliannya.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ, Fauzi Maarop berkata, tindakan itu bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya mengenai kesalahan yang dilakukan.

Menurutnya, operasi itu akan dijalankan di kawasan-kawasan komersial (pusat bandar) bermula di Jalan Cantik, Sekyen 8, Seksyen 14 dan SS2.

“Kawasan yang digazetkan sebagai ‘clamping zone’ ini juga akan digazetkan sebagai kawasan tarik kereta (towing). Ia bermakna, kedua-dua tindakan ini kita boleh buat serentak. Kadar bayaran yang ditetapkan untuk ‘clamping’ ialah RM100, manakala ‘towing’ pula sebanyak RM310.

“Kita juga akan keluarkan notis kepada pemilik kenderaan sebagai pemberitahuan. ‘Clamping’ akan dilakukan sehingga jam 6 petang. Sekiranya lebih daripada waktu itu, kenderaan yang diletakkan di tempat tidak sepatutnya akan ditarik,” katanya.

Beliau berkata, pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan itu perlu membayar kompaun serta merta kepada pegawai penguatkuasa yang bertugas.

Jelasnya, operasi itu dijalankan selaras dengan Perintah Pengangkutan Jalan MBPJ 2007.

“Setakat ini kita mempunyai 50 unit ‘clamping’ dan kita sudah menempah lebih 100 unit lagi. Sekiranya kesalahan itu melibatkan ‘double parking’, maka kita akan terus tarik sahaja kenderaan mereka. Kita akan beri notis dua minggu lebih awal sebelum memulakan operasi ini,” katanya lagi.


Pengarang :