Selangorkini
SELANGOR

MBPJ Rai Warga Emas Tasik Taman Jaya

PETALING JAYA 14 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini menganjurkan Program Warga Emas di Tasik Taman Jaya khusus bagi meraikan warga emas di kawasan berkenaan.

Program yang bertemakan “Warga Emas Sihat, Aktif, Ceria : Hidup Sejahtera” itu dirasmikan Datuk Bandar MBPJ, Mohamad Roslan Sakiman.

“MBPJ bukan sahaja giat membangunkan kemudahana infrastruktur sahaja untuk kemudahan warga PJ (Petaling Jaya), tetapi kita turut menekankan pembangunan dan pembentukan sosial yang sihat.

“Seperti hari ini, kita adakan program untuk warga emas, di mana mereka berpeluang melakukan aktiviti sukan, bersenam, dapat memeriksa kesihatan, tekanan glukosa dan lain-lain,” ucapnya di hadapan kira-kira 500 hadirin.

Program bermula seawal jam 6 pagi dengan pendaftaran para peserta program dan acara Larian Warga Emas di mana lima kategori dipertandingkan.

Antaranya Kategori Lelaki Senior Veteran khusus bagi warga berusia 60 tahun dan ke atas, Kategori Lelaki Junior Veteran yang berusia 50 hingga 59 tahun dan juga Kategori Wanita Veteran bagi mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas.

Selain itu, turut dipertandingkan ialah acara Larian Lelaki dan Wanita Terbuka untuk mereka yang berusia 18 hingga 49 tahun.

Majlis kemudiannya dimeriahkan dengan persembahan warga emas seperti persembahan koir, tarian poco-poco, tarian burung, tai-chi selain persembahan istimewa daripada artis jemputan, Azli yang lahir dari program realiti Kilauan Emas.

Sementara itu, Tokoh Warga Emas Petaling Jaya 2012 berjaya dirangkul Presiden Spastic Children?s Association of Selangor & Federal Territory (SCAS & FT), Datuk Dr Lam Peng Chong, 81.


Pengarang :