Selangorkini
SELANGOR

MBSA Diskaun Kompaun Pelbagai Kesalahan

SHAH ALAM 24 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan kempen pengurangan kompaun sehingga 80 peratus kepada sesiapa yang mempunyai tunggakan kompaun bermula 10 Oktober sehingga 30 November depan.

Bagi mereka yang menjelaskan kompaun pada bulan Oktober berpeluang menikmati pengurangan sebanyak 80 peratus sementara diskaun 70 peratus diberi kepada mereka yang menjelaskannya sepanjang November.

“Justeru, orang ramai digesa mengambil peluang kempen selama dua bulan ini dengan membuat semakan dan seterusnya menyelesaikan kompaun masing-masing.

“Diharap kempen ini dapat mengelakkan mereka daripada tindakan tegas dan lebih penting dapat mendidik mereka agar lebih bertanggungjawab,” jelas Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad dalam kenyataan medianya.

Bagaimanapun, tawaran pengurangan kompaun tersebut tidak termasuk kesalahan-kesalahan di bawah Peruntukan Undang-undang Kecil dan akta tertentu.

Antaranya, Undang-undang Pusat Siber dan Kafe 2007, Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MBSA) 2007, Undang-undang Kerja Tanah (MBSA) 2007 serta Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing.

Pengurangan kompaun juga tidak akan diberikan ke atas kesalahan yang melanggar Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Kerajaan Tempatan (kompaun jentik ? jentik), Kompaun kesalahan tunda dan amaun kompaun yang sama atau melebihi RM1,000

Orang ramai boleh membuat semakan dan membuat bayaran di Kaunter MBSA di Wisma MBSA di sini atau boleh juga mengunjungi Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning dan Sungai Buloh.

Selain itu, mereka juga boleh membuat bayaran secara atas talian di www.mbsa.gov.my dengan kaedah FPX dan kad kredit.

Jika mempunyai sebarang pertanyaan, orang ramai diminta menghubungi Jabatan Pengurusan Hasil dan Pelaburan MBSA di talian 03-5522 2282.

 

 


Pengarang :