Selangorkini
SELANGOR

MBSA Nasihati Orang Ramai Mohon Kebenaran Jika Ubah Suai Kediaman

SHAH ALAM 19 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menegaskan orang ramai membuat permohonan kepada pihaknya sekira mahu membuat sebarang penambahan atau penyambungan struktur bangunan kediaman mahupun komersial.

Datuk Bandar, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pihaknya memandang serius perkara terbabit kerana tidak mahu berlaku sebarang tragedi yang melibatkan nyawa orang ramai.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan ke tempat kejadian bumbung konkrit rumah banglo dua tingkat yang sedang dalam proses ubah suai runtuh di Jalan Jed 1 7/5A, Seksyen 7.

Jaafar berkata, permohonan bagi penyambungan struktur binaan itu sebenarnya tidak memerlukan tempoh yang lama jika mengikut prosedur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Tempoh permohonan hanya dari satu jam sahaja dan paling lama hanya 24 jam sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut kejadian itu, Jaafar berkata pemilik rumah terbabit tidak pernah membuat sebarang permohonan atau mendapatkan sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) dan sijil layak menduduki (CF) bagi kerja-kerja pengubahsuaian kepada MBSA.

Sekatat ini, MBSA mendapati dua daripada 26 buah rumah di kawasan itu tidak mendapat kelulusan MBSA untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

“Kes ini akan di bawa ke mahkamah, pemilik rumah akan didakwa di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang membawa denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit dan boleh didenda tambahan sebanyak satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Dalam kejadian kira-kira empat petang itu, dua pekerja buruh yang dikenali sebagai Ghadami maut ditempat kejadian manakala Totok Mochamad Anthony meninggal dunia di hospital.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Kasmuji masih dirawat di hospital.

Kejadian itu berlaku ketika enam buruh binaan berkenaan sedang melakukan ubah suai di banglo mewah milik seorang ahli perniagaan yang masih belum diduduki.


Pengarang :