NASIONAL SELANGOR

Mengapa BN Tidak Tubuh Kabinet Bayangan Di Negeri PR

SHAH ALAM, 3 OKT: “Selain tidak disenangi rakyat Selangor, kurang kewibawaan Menteri Pertanian dan Industir Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar (MB) Selangor menjadi halangan utama untuk beliau menjawat jawatan nombor satu negeri terkaya itu.

“Selain itu, kewibawaan dan kecekapan mentadbir yang dimiliki Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga jauh meninggalkan Noh.” kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

“Umno-BN tak berani letak nama Datuk Seri Noh Omar sebagai MB bayangan mereka sebab mereka tahu mereka bakal kehilangan banyak kerusi sekiranya calonkan dia dan sama juga dengan bayangan exco mereka, percakaran dalaman pasti berlaku,” ujar Khalid.

Sebelum ini, menurut satu sumber dalaman Umno, Noh Omar merupakan calon MB Selangor sekiranya Umno-BN berjaya memenangi negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Namun Noh tidak di senangi oleh banyak bahagian-bahagian Umno-BN di Selangor.

Keengganan pemimpin pusat Umno-BN mengesahkan cakap-cakap politik tersebut menyebabkan ianya semakin rancak diperkatakan dikalangan ahli-ahli Umno sekaligus menimbulkan rasa kurang senang dikalangan pemimpin Umno peringkat negeri.

Selangor merupakan negeri paling diidamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk dimenangi dalam PRU-13 disebabkan kekayaan yang di miliki negeri ini.

Bagaimanapun sehingga kini, Najib enggan menamakan sebarang nama sebagai MB dan barisan exco bayangan sekiranya memenangi Dewan Undangan Negeri Selangor dalam pilihan raya nanti.

Kenyataan MP Shah Alam itu ekoran cabaran pemimpin-pemimpin Umno termasuk Noh menggesa PR menamakan kabinet bayangan sekiranya berjaya menguasai Putrajaya nanti.

Dua hari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang juga mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyenaraikan kabinet bayangan BN di negeri-negeri yang di kuasa PR di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Menurut Lim, sekiranya BN tidak melakukan sebagai mana yang diharapkan dari PR maka kenyataan tersebut dianggap sebagai putar belit dan double standart BN semata-mata.


Pengarang :