Selangorkini
SELANGOR

MPK Tahan Lori Buang Sampah Haram

KLANG 24 OKT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) menahan sebuah lori atas kesalahan menjalankan aktiviti pembuangan sampah secara haram, baru-baru ini.

Tindakan itu dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 dilakukan dalam satu operasi di Jalan Temenggung, baru-baru ini.

Ahli majlis, Azmi Jusoh berkata, beliau menerima maklumat awal daripada penduduk dan segera mengadakan pemantauan sebelum bertindak menahan lori terbabit untuk diambil keterangan.

Katanya, kontraktor berkenaan sering menjadikan kawasan itu sebagai lokasi untuk membuang sampah memandangkan lokasi itu agak lapang dan memudahkan mereka mencampak sampah dari atas lori.

“Tindakan mereka merupakan satu pengkhianatan kerana mereka adalah pihak yang dipertanggungjawabkan membersihkan kawasan namun menggunakan cara mudah bagi mengaut keuntungan.

“Malah lebih mengejutkan, mereka dengan beraninya membuang sampah ini pada waktu siang tanpa menghiraukan mereka yang lalu lalang di sini,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmi berkata, kontraktor itu akan dikenakan kompaun dan jika berterusan, majlis akan mengambil tindakan yang lebih tegas termasuk membatalkan permitnya.

Sehubungan itu, MPK meminta orang ramai yang terlihat mana-mana individu yang membuang sampah di tempat awam supaya segera memaklumkan kepada pihaknya.

“Majlis dengan kerjasama pemimpin setempat akan terus memantau kerja-kerja kontraktor bagi memastikan tiada pihak yang lepas tangan dan melakukan tugasan sambil lewa,” katanya.


Pengarang :