Selangorkini
SELANGOR

NGO Perlu Bantu Kerajaan Dalam Sektor Kesihatan

KLANG, 12 0KT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta pertubuhan bukan kerajaan(NGO) di Selangor agar membantu Kerajaan Negeri meningkatkan kemudahan asas untuk rakyat seperti pengangkutan, pendidikan dan kesihatan awam.

Abdul Khalid  memuji usaha Kelab Rotary kerana mengisi kekosongan dalam sektor perkhidmatan kesihatan sekaligus dapat menampung kekurangan perkhidmatan yang ditawarkan hospital kerajaan.

Usaha ini juga katanya menyebabkan rakyat di Selangor dapat merasai kemudahan dengan harga berpatutan.

“Kerajaan Negeri amat berterima kasih terhadap usaha kebajikan Kelab Rotary yang menyediakan kemudahan untuk pesakit buah pinggang menerima rawatan dialisis dengan harga rendah.

“Kelab Rotary di seluruh Malaysia yang mempunyai jalinan antarabangsa sentiasa mencari jalan untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi kepentingan masyarakat,” katanya semasa menghadiri majlis menandatangani plat Persatuan Hemodialisis di sini, pagi tadi.

Beliau juga mengingatkan Kerajaan Pusat agar mengambil inisiatif dengan meningkatkan penyediaan pusat kesihatan baik di Malaysia mahupun di Selangor.

Dalam majlis itu, Abdul Khalid turut melawat pesakit buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan dialisis selain menyerahkan sumbangan kepada mereka.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Pusat Dialisis Rotary Klang merupakan pusat rawatan dialisis yang ditubuhkan hasil usaha Kelab Rotary Klang bagi memastikan pesakit buah pinggang mudah mendapat rawatan dengan bayaran rendah.

Pusat rawatan ini mengenakan bayaran RM110 bagi satu rawatan berbeza dengan bayaran di pusat rawatan lain yang mengenakan bayaran RM150 ke RM250.


Pengarang :