Selangorkini
SELANGOR

Nie Ching : Kelewatan Laporan Audit bagi Belanjawan 2013 Negara Timbulkan Keraguan

KUALA LUMPUR, 11 OKT: MP Serdang, Teo Nie Ching mendakwa alasan Kerajaan Pusat untuk tidak membentangkan laporan Audit Negara 2013 tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

Ini kerana laporan audit tersebut penting untuk memastikan wang yang diperuntukkan dalam bajet bijak dibelanjakan, kata Nie Ching.

“Laporan Audit Negara diperlukan bagi mengenal pasti perkara-perkara yang tidak diperlukan dan memerlukan pembaikian.

Supaya rakyat dapat menikmati manfaat yang lebih baik daripada peningkatan yang dibuat melalui laporan itu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata kerajaan pusat telah menangguhkan pembentangan laporan audit tahun ini bagi memberi lebih perhatian kepada perbahasan Belanjawan Negara 2013.

Jelas Nie Ching, kenyataan Nazri juga disahkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang mendedahkan bahawa beliau diminta untuk melambatkan laporan bagi membolehkan lebih banyak masa bagi perbahasan Belanjawan Negara.

Nie Ching mendakwa kelewatan laporan Audit Negara juga bertentangan dengan sasaran khusus Unit Pengurusan Prestasi dan menyampaian(PEMANDU) dalam fasa kedua Pelan Transformasi Kerajaan(GTP 2.0).

Menurut laman web PEMANDU, Laporan Audit Negara akan diubah supaya laporan itu dibentangkan tiga kali setahun, sekali gus membolehkan prosesnya lebih cepat dan berkesan dan tindakan segera boleh diambil.

“Ianya sesuatu yang memalukan kerana sehingga hari ini, Laporan Ketua Audit Negara tidak dibentangkan di parlimen lagi,” katanya.


Pengarang :