Selangorkini
SELANGOR

Orang Ramai Dijemput Ke Ekspo Kesihatan Dan Kecantikan Selangor Bulan Depan

SHAH ALAM, 25 OKT : Sebanyak 132 gerai daripada 80 syarikat dalam dan luar negara akan terlibat dalam Ekspo Kesihatan Dan Kecantikan 2012 pada 9 – 11 November ini yang akan diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini.

Ekspo itu dianjurkan oleh Multi Mutual Resources dengan sokongan penuh daripada Selangor State Investment Center (SSIC) dan Selangor Times.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, ekspo diharap dapat merancakkan industri kecantikan dan kesihatan dan meningkatkan pelaburan dalam negara.

“Semasa saya dan pihak SSIC mengadakan lawatan ke Australia, ramai pelabur khususnya industri bio-farmasutikal yang menyatakan hasrat untuk datang melabur ke Selangor,” kata Teresa semasa sidang media di SACC di sini.

Katanya, permintaan terhadap produk-produk farmasautikal dan kesihatan semakin meningkat daripada pengguna yang pastinya mampu merancakkan lagi industri itu.

“Kerajaan Negeri dan SSIC mengalu-alukan pelaburan ke Selangor untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan potensi perniagaan kepada penduduk dan graduan yang mencari pekerjaan,” katanya.

Pameran amalan dan gaya hidup sihat turut diadakan bagi orang awam.

Antara acara yang akan diadakan adalah peperiksaan jantung dan mata secara percuma, kempen menderma darah, ceramah kesihatan dari doktor terkenal, demo kecantikan dan pertandingan mewarna.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijadualkan akan merasmikan ekspo itu pada 10 November.

Orang ramai dijemput untuk hadir dan masuk adalah percuma dengan setiap 500 pelawat akan diberikan bag cenderhati setiap hari.

Untuk keterangan lanjut boleh layari laman sesawang www.mmr.my atau hubungi 03-89577533.


Pengarang :