Selangorkini
NASIONAL

PATI Yang Guna Mykad Palsu Adalah Pemilih Sah SPR

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Dua pendatang asing tanpa izin yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kerana menggunakan MyKad palsu sebelum ini, didapati diberikan hak mengundi.

Seorang daripada mereka, warga Filipina Salleh Bin Samsul didapati memegang Mykad palsu bernombor 670110-12-5035.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Majistret Cindy McJuce Balitus dalam perbicaraan di Kota Kinabalu pada 20 Sept 2010.

Demikian menurut MP Kuantan, Fuziah Salleh dalam satu sidang media yang diadakan di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, semakan TVSelangor pada daftar pemilih di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mendapati Salleh merupakan pengundi sah di DUN Kempas dalam Parlimen Pasir Gudang, Johor.

Fuziah berkata dalam satu kes berasingan, seorang lagi warga Filipina, Hassanuddin Bin Manna juga didapati bersalah atas tuduhan membeli MyKad palsu dengan harga RM 1,000.

“Hassanuddin mengaku beli MyKad dengan harga RM 1,000 dan dia juga dijatuhkan hukuman penjara setahun,” kata Fuziah.

Dalam perbicaraan tersebut, Hasanuddin mengaku beliau memperolehi MyKad palsu bernombor 741029-12-5463 dari seorang rakannya.

Menurut satu salinan daftar pemilih, Hassanuddin juga merupakan seorang pengundi sah di DUN Karambunai di kawasan Parlimen Sepanggar, Sabah.

Kedua-dua perbicaraan tersebut turut dilaporkan dalam beberapa laporan akhbar tempatan di Sabah termasuk Harian Ekspress dan Daily Exspress.

Selain akhbar tempatan, Fuziah memberitahu, ianya turut dilaporkan dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sendiri.

“Ini membahayakan keselamatan negara, kerakyatan negara boleh dibeli dengan harga RM1,000 sahaja dan diberi hak menentukan kerajaan.

“Kalau saya sendiri dapat kesan dua kes, sudah tentu ada banyak lagi pendatang asing lain yang memiliki MyKad dan boleh mengundi dalam pilihan raya.

“Saya cuba tanya di Dewan Rakyat, tetapi tidak dibenarkan oleh Yang Dipertua,” kata Fuziah.


Pengarang :