Selangorkini
SELANGOR

Penduduk Jeram Lega Peroleh Masjid Baru

 

KUALA SELANGOR, 12 OKT : Dulu, penduduk Pekan Jeram terpaksa berhimpit-himpit dan mendirikan solat berjemaah di luar perkarangan masjid lama mereka yang kecil dan serba kekurangan.

Sehingga pada satu solat Hari Raya Aidilfitri, jemaah yang berdiri di luar masjid tersebut lari bertempiaran apabila hujan lebat pada hari itu.

Tetapi situasi masa dulu diharap tidak berulang lagi selepas mereka menerima sebuah Masjid baru yang lebih luas, selesa dan tersergam indah akhir bulan lepas.

Masjid yang baru itu mampu menampung kira-kira lebih 2,000 jemaah dengan kemudahan meletak kereta lebih luas serta ruang solat berhawa dingin.

Ia dibina dengan kos RM 6.4 juta dan menyediakan bilik pengurusan jenazah, bilik persediaan jenazah, bilik penyediaan makanan dan bilik mesyuarat.

Seorang penduduk Rahmat Shafie, 71, berkata, semasa menggunakan masjid lama kerap berlaku situasi tatakala waktu Solat Hari Raya yang jemaahnya melebihi kapasiti ruang masjid itu walaupun disediakan khemah tambahan di luar masjid.

“Alhamdulillah hari ini penduduk Jeram mendapat kemudahan sebuah masjid baru yang lebih besar yang mana masyarakat Islam di sini lebih 90 peratus terdiri daripada masyarakat Islam,” ujarnya.

Beliau ditemui semasa majlis penyerahan masjid itu daripada Kerajaan Negeri yang dirasmikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Nama rasmi masjid tersebut akan diumumkan semasa upacara perasmian yang bakal disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Rahmat, yang sebelum ini ahli jawatankuasa masjid berkata, permohonan untuk mendapatkan masjid baru telah dikemukakan sejak 2002 kepada negeri pada masa itu, tetapi pelbagai rintangan yang perlu dihadapi.

Ianya menjadi kenyataan selepas kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat meluluskan pembinaannya pada tahun 2010 dan akhirnya boleh digunakan untuk Solat Jumaat kira-kira dua minggu yang lalu.


Pengarang :