Selangorkini
SELANGOR

PKNS Jamin Kebajikan Peniaga dan Penyewa

SHAH ALAM, 31 OKT : Peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dinasihatkan tidak bimbang terhadap penstrukturan semula aset perbadanan itu.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Ibrahim berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan yang prihatin, PKNS sentiasa memastikan kebajikan para peniaga dan penyewa di premis itu dilindungi.

Sehubungan itu, katanya, peniaga tidak perlu khuatir berhubung dakwaan yang mengatakan kemungkinan mereka akan diusir dari premis perniagaan itu sekiranya ia diambil alih oleh pihak lain.

“Kita memberi jaminan bahawa kedua-dua peniaga sebagai penyewa dan PKNS sebagai pemegang aset bakal berdepan dengan situasi menang-menang (win win situation). Tidak timbul isu penindasan mahupun membelakangkan peniaga di premis itu,” katanya kepada TV Selangor.

Tambahnya, PKNS percaya dengan adanya kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur ditambah usaha giat mempromosikan bangunan tersebut, peniaga mampu menjual produk dengan baik dan menjelaskan sewaan bulanan dengan teratur.

Sebelum ini, lebih 200 peniaga di Kompleks PKNS di sini melahirkan rasa bimbang kemungkinan mereka diusir dari premis perniagaan itu jika ia diambil alih pihak lain.

Yang Dipertua Persatuan Peniaga Kompleks PKNS, Amran Yahya berkata, kesemua peniaga di kompleks berkenaan belum memperbaharui kontrak sewa premis berkenaan sejak isu kenaikan sewa pada Januari lepas.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid ketika diminta mengulas cadangan kenaikan sewa lot kedai di Kompleks PKNS di sini berkata, usahawan Bumiputera yang tidak mampu membayar sewa akan diberi bantuan.


Pengarang :