Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

PKNS Nafi Terbabit Bina Jalan Plumbum

SHAH ALAM, 28 OKT : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan penglibatannya dalam pembinaan jalan dalaman di zon penampan kawasan pembangunan bersempadan dengan kawasan peerumahan di Jalan Plumbum Seksyen 7 di sini.

Pengurus Perhubungan Awamnya, Ishak Hashim berkata, pihaknya kesal apabila dilibatkan dengan isu pembinaan itu sebagaimana dilaporkan beberapa media arus perdana baru-baru ini.

“PKNS ingin menegaskan bahawa perbadanan ini tidak terbabit langsung dalam pembinaan jalan ini, justeru ia tidak harus dikaitkan dalam perkara ini.

“Seharusnya siasatan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan yang kurang menyenangkan dikeluarkan yang boleh menjatuhkan imej PKNS,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan kepada TVSelangor di sini hari ini.

Ishak berkata, PKNS percaya pelan pembangunan kawasan berkenaan telah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terlebih dahulu untuk mendapat kelulusan.

PKNS sendiri, tegasnya, dalam setiap projek pembangunan akan sentiasa memastikan ianya dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Untuk sebarang pertanyaan berhubung perkara itu, pihak berminat boleh menghubunginya di talian 03-5520 1245/1247 atau emel : ishak@pkns.gov.my


Pengarang :