Selangorkini
SELANGOR

PKNS : Projek CSR Jauh Lebih Banyak Berbanding Untung

SHAH ALAM, 1 OKT : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hanya membuat keuntungan dalam 10 peratus projek pembangunannya manakala 90 peratus yang lain bagi memenuhi objektif sosial seperti membekal rumah mampu milik.

Setakat ini, PKNS telah membelanjakan RM 1.1 bilion dalam bentuk subsidi untuk membekalkan 12,242 unit rumah mampu milik di seluruh Selangor.

Pengurus Besar PKNS, Othman Omar berkata, keuntungan yang dijana PKNS akan digunakan anak syarikat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program sosial atau memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat Selangor.

Menurutnya, falsafah perniagaan PKNS ialah apabila membuat keuntungan, keuntungan itu akan disumbangkan semula kepada masyarakat di Selangor dalam bentuk projek sosial.

“Kalau dibandingkan dengan organisasi lain di mana mereka (pemaju perumahan swasta) buat keuntungan dan keuntungan itu akan menjadi dividen kepada pemegang sahamnya.

?Dari segi ini pemegang saham PKNS ialah rakyat Selangor.

“Lagi banyak keuntungan kita buat maka lebih banyak sumbangan yang boleh kita berikan dari segi projek sosial atau tanggungjawab sosial korporat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Othman membuat kenyataan sebagai membalas dakwaan Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda) serta Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps).

Kedua-dua kumpulan ini mendakwa PKNS hanya membuat keuntungan menerusi projek perumahan mewah dan mengabaikan program CSR.

“90 peratus daripada rumah yang kita bina adalah kurang daripada RM 400,000 seunit dan lebih daripada 55 peratus adalah kurang daripada RM 200,000.

?Jadi kebanyakan rumah ini adalah rumah mampu milik malah rumah mewah yang kita bina seperti banglo dan yang lain pun dirasakan mampu dimiliki kerana bila kita jual kadar harganya adalah lebih rendah dari harga pasaran iaitu kurang 15 ke 20 peratus.

“Satu lagi persepsi salah ialah Kerajaan Negeri menganugerahkan tanah secara percuma kepada PKNS.

?Tetapi kita terpaksa membayar (tanah tersebut) pada harga pasaran,” ujarnya.

Setakat ini PKNS sedang membina 12,242 unit rumah mampu milik di seluruh Selangor seperti di Bukit Botak, Selayang; Seksyen Tiga, Bangi; Antara Gapi, Serendah dan Kota Puteri, Rawang. melibatkan bayaran subsidi berjumlah RM1.1 bilion.


Pengarang :