Selangorkini
SELANGOR

PKR Dakwa ‘Ada Sesuatu’ Punca Laporan Audit Negara Lewat

KUALA LUMPUR 17 OKT : PKR hari ini mendakwa ‘ada sesuatu’ berhubung kelewatan laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan Isnin lalu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, selepas disemak pihaknya mendapati laporan itu sebenarnya sudah disahkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang pada 12 Jun dan laporan penuhnya pada 25 Julai lalu.

Katanya, sekiranya sudah disahkan oleh Ketua Audit Negara secara keseluruhannya, maka tiada sebab perlu dilambatkan dan memberikan alasan proses audit tidak lengkap.

“Kelewatan hampir sebulan, tahun lepas dua minggu. Ini bukan berpunca daripada proses pengauditan tetapi ada masalah lain yang tidak dinyatakan.

“Saya yakin ada perkara lain yang tidak dinyatakan. Perkara ini disengajakan supaya tidak diteliti oleh ahli parlimen untuk memberikan hujah dalam sesi perbahasan,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen.

Selain itu, Azan berkata dalam lampiran muka surat 100, turut dikejutkan dengan penemuan audit yang mendapati hampir 70 peratus daripada 301 pejabat persekutuan tidak mematuhi kaedah pentadbiran kewangan yang sepatutnya.

“Jadi siapa yang mahu jawab isu kebocoran ini? Ini bermakna teguran Ketua Audit sebelumnya yang mengatakan terdapat ketirisan masih tidak diperbaiki.

“Itu sebab lambat, tidak mahu isu teguran atau penemuan yang menakutkan ini diketahui lebih awal. Boleh jadi ada kemungkinan terdapat audit kedua dilakukan,” katanya.


Pengarang :