Selangorkini
SELANGOR

Program Korban DUN Ijok Disambut Meriah

IJOK, 27 OKT : Program korban Aidiladha DUN Ijok bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Kampung Harmoni di sini hari ini dijalankan secara sederhana tetapi meriah dengan kehadiran penduduk termasuk dari kampung berhampiran.

Selain kampung ini, program turut melibatkan empat kampung lain iaitu Kampung Ijok, Kampung Bukit Badong, Kampung Jaya Setia dan Kampung Rantau Panjang selain program beramah mesra Menteri Besar dan rombongan bersama penduduk kampung.

Abdul Khalid dan rombongan hadir dengan menaiki bas Merdeka Rakyat disambut penduduk kampung dalam suasana meriah.

Dalam ucapannya beliau berkata, program sambutan Aidiladha termasuk korban itu adalah salah satu program mesra bersama rakyat yang dirancang Kerajaan Negeri.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana kita dapat menjalankan program Aidiladha termasuk majlis korban yang mengingatkan kita tentang tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Oleh sebab itulah dalam perayaan ini kita mesti mengingati Allah SWT dengan bertakbir dan bertahmid serta bersyukur.

“Diharapkan juga rakyat Selangor dan umat Islam yang pergi menunaikan ibadah haji dapat menjalaninya dengan jaya dan mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.

Sebanyak 12 ekor lembu termasuk 10 ekor sumbangan Kerajaan Negeri dikorbankan dalam program tersebut di mana kira-kira 200 penduduk kampung hadir berkerjasama menjayakannya.

Daging korban kemudian diagihkan kepada penduduk kampung termasuk golongan saudara baru dan anak yatim dari DUN Ijok.

Menerusi program mesra bersama Menteri Besar itu, penduduk kampung turut berpeluang menaiki bas Merdeka Rakyat dan dibawa menjelajahi ke kawasan berhampiran di Ijok.

Ketua Pemuda dan Belia Kampung Harmoni, Ramzi Sobhi berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri yang banyak membantu dalam menjayakan program tersebut.

“Saya berbesar hati kita dapat menjalankan program ini dengan jayanya. Biarpun secara sederhana tetapi ia memberi makna kepada kami di kampung ini,” katanya.

Saudara baru, Nur Irdina Chai Abdullah, 28 Dari Batu Lapan, Ijok ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana dapat turut serta dalam program tersebut buat kali pertama selepas empat tahun memeluk agama Islam.

“Saya begitu gembira dapat bersama masyarakat Islam lain di kampung ini menyambut Aidiladha dan mendapat daging korban selain menikmati makanan secara kampung yang disediakan di sini,” katanya.


Pengarang :