Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Projek Pertanian : IADA Perlu Dapat Kebenaran LUAS

SHAH ALAM 22 OKT : Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) perlu mendapat kebenaran pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam menjalankan projek yang melibatkan pengurusan sumber air di negeri ini.

Exco Pertanian Selangor, Dr Yaakob Sapari dalam satu kenyataan media berkata perkara ini termaktub di dalam seksyen 6 Enakmen LUAS 1999 yang mana salah satu fungsinya adalah menjaga kepentingan negeri dalam pengurusan sumber air.

Menurut Dr Yaakob, pihak LUAS memaklumkan kepada beliau bahawa pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan dari pihak IADA untuk melaksanakan projek berkaitan sumber air.

Tambahan pula, walaupun kawasan projek terletak di dalam kawasan pewartaan rizab hutan di bawah pengawalseliaan Jabatan Perhutanan. Berdasarkan Seksyen 43, Enakmen LUAS 1999 pihak pengusaha perlu memohon Kebenaran Bertulis daripada Pengarah LUAS.

“Ini kerana pihak penguasa melakukan kerja di dalam rizab sungai berdasarkan seksyen 2 Enakmen LUAS 1999. Kerja-kerja pembinaan yang terlibat adalah pembinaan muka sauk rumah pam kolam takungan dan juga kerja-kerja meninggikan benteng sepanjang sungai dan terusan. Pembinaan alur limpah (spillway) di Sungai Bernam juga memerlukan Kebenaran Bertulis,” katanya.

LUAS perlu menyelaraskan pemberian Kebenaran Bertulis ini kerana ia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti keperluan air kepada loji pembersihan air, keperluan penanaman padi dan juga keperluan air kepada hidupan dan tumbuhan di kawasan hutan.

?Oleh sebab itu, walaupun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan permohonan pewartaan tanah bagi rizab kolam takungan. Tetapi, mereka tetap juga perlu merujuk kepada pihak berkuasa tempatan yang lain dalam soal pembangunan yang ingin dibina.

?Justeru, saya sarankan pihak IADA supaya jangan pinggirkan LUAS. Mereka diberi kuasa oleh Kerajaan Negeri dalam hal ehwal air di Selangor. Malah penubuhan LUAS adalah berdasarkan kelulusan Dewan Undangan Negeri Selangor yang meluluskan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 pada 9 April 1999.

“Patutlah sepanjang Noh Omar memegang jawatan menteri, banyak projek-projek terbengkalai. Rupa-rupanya menteri sendiri tidak menghormati undang-undang yang dibuat pada zaman Barisan Nasional lagi,” tegas Dr Yaakob.

Perkara ini mendapat perhatian umum apabila Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar mendakwa bahawa Dr Yaakob menghalang projek membina takungan air yang sedang dilakukan oleh kementerian beliau.


Pengarang :