Selangorkini
SELANGOR

Projek Takungan Air RM 20 juta Dijangka Atasi Masalah Banjir

SHAH ALAM, 20 OKT : Kolam takungan air di Sri Sentosa yang dijangka siap dalam masa 18 bulan mampu mengatasi masalah banjir yang berlaku di Daerah Klang kata ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Projek RM 20 juta itu diharap dapat menampung limpahan air jika hujan lebat di kawasan Bukit Naga, Seri Gambut , Jalan Pendamar, Johan Setia, Bandar Putera dan Bandar Puteri.

“Mengikut laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Daerah Klang, projek itu akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja,” kata Shuhaimi ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam pada itu, Shuhaimi berkata penduduk Johan Setia dan Bandar Puteri yang terjejas akibat banjir semalam sudah kembali ke rumah masing-masing selepas dipindahkan ke Dewan Al-Munirah Rumah Anak-Anak Yatim.

Mereka dipindahkan selepas air ketinggian paras paha masuk ke rumah mereka semalam.

Katanya, Pejabat Daerah Klang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menghulurkan bantuan makanan kepada mereka.

“Kita sedang merekodkan dan meninjau dari rumah ke rumah di mana ada warga emas yang tidak berupaya membersihkan rumah dan kita akan membantunya.

“Dan sekarang ini sedang berlaku proses pembersihan rumah yang mengalami masalah banjir,” jelas Shuhaimi.

Kata Shuhaimi, punca berlakunya banjir itu adalah ekoran Fenomena Astromical Tide yang sudah dijangkakan akan berlaku.

Shuhaimi juga menolak tuduhan bahawa pihak Adun dan Ahli Parlimen tidak melaksanakan tugas dalam mengatasi masalah banjir itu.

“Dalam berita di TV3 ada budak-budak daripada Umno membuat tuduhan mengatakan Ahli Parlimen dan Adun berjanji untuk membawa ekskavator untuk membersihkan laluan air.

“Tuduhan itu berniat jahat kerana orang-orang itu tidak pernah berjumpa dengan pihak saya.

“Mereka hanya mengambil kesempatan politik apabila berlaku masalah banjir untuk menyalahkan kerajaan negeri, ahli parlimen dan adun,” katanya.

 


Pengarang :