Selangorkini
SELANGOR

Safety Riding DUN Hulu Klang Bagi Menyelamatkan Nyawa

HULU KELANG 21 OKT: Ancaman kemalangan kepada penunggang motosikal khususnya golongan belia, menjadi dorongan kepada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Zon 4  di Ampang untuk menganjurkan program ‘Safety Riding’.

Pengerusi PeBT Zon 4, Muthanna Saari berkata, program ini mengajar belia tentang teknik-teknik membawa motosikal dengan betul dan mencegah kemalangan.

“Program ini memberi peluang kepada golongan belia di kawasan ini mengetahui cara-cara mengawal motosikal dalam waktu kecemasan bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya yang sering menimpa penunggang motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program itu di Tapak Pasar malam di Ukay Perdana petang semalam.

Program kerjasama Alternative Riding Club (ARC) dan Pusat Khidmat DUN Hulu Kelang turut menyediakan pelbagai aktiviti dan pertandingan khusus bagi belia dan penduduk di sini.

Antaranya perkhidmatan menukar minyak hitam motosikal secara percuma, demonstrasi teknik penunggangan selamat oleh bekas penunggang Cub Prix Malaysia Hamizan Ahmad, pertandingan motosikal tercantik dan pertandingan motosikal perlahan.

Turut hadir bagi menyaksikan program ‘Safety Riding’ ini ialah ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan kira-kira 300 belia dan penduduk kawasan Ukay Perdana.

Bagi golongan belia yang hadir, rata-ratanya tidak mengetahui cara-cara mengendalikan motosikal dengan betul dan program ini banyak membantu mereka.

Faizal Rozali, 20, berpendapat program dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti berfaedah di hujung minggu sebaliknya mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial.

“Saya dapat menukar minyak hitam secara percuma dan mempelajari perkara penting bagi setiap penunggang motosikal melalui demonstrasi yang dilakukan oleh ahli ARC ini,” katanya yang tinggal di Taman Keramat.

Bagi Firdaus Aziz, 23, beliau merasakan program seperti ini perlu diteruskan di tempat lain kerana terdapat pelbagai manfaat.

Katanya, selain penerangan mengenai motosikal, golongan belia dapat bersantai dan merapatkan hubungan bersama rakan-rakan lain.

“Program ini bercirikan hiburan yang ringan dan dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah bagi golongan muda untuk beriadah secara sihat bersama rakan-rakan lain,” katanya yang tinggal di Taman Melati, Gombak.

Dalam pada itu, Saari berkata, minat golongan belia terhadap sesuatu perkara seperti menunggang motosikal tidak perlu disekat tetapi hendaklah disalurkan melalui cara yang sihat.

“Kita tidak perlu sekat minat golongan ini dan sentiasa memberi galakan dan penerangan dari semasa ke semasa bagi mencegah perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan motosikal,” katanya.


Pengarang :