Selangorkini
SELANGOR

Selangor Mahu Jadi Pengeluar Terbesar Ikan Sangkar

KLANG 03 OKT : Kerajaan Negeri bercita-cita menjadikan Selangor pengeluar terbesar ikan laut dalam sangkar di Malaysia menurut Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari.

Ini kerana aktiviti itu merupakan penyumbang kedua terbesar aktiviti akuakultur di negara ini dengan mencatatkan nilai RM 415.68 juta selepas ternakan udang laut dalam kolam.

Berdasarkan Statistik Jabatan Perikanan Negeri tahun lalu, Selangor merupakan pengeluar ketiga terbesar selepas Johor dan Pulau Pinang dengan mencatit pengeluaran 4,336.28 tan metrik dengan nilai sebanyak RM 71.58 juta.

Statistik juga menunjukkan pengeluaran ikan di Selangor meningkat sejak dua tahun yang lalu. Pada 2010 sebanyak 3,310.71 tan metrik dengan nilai RM 44.60 juta di hasilkan.

Ini telah meningkat kepada 4,336.28 tan metrik dengan nilai RM71.58 juta pada 2011.

Kata Yaakop, 80 peratus hasil ternakan dieksport terutamanya ke Hong Kong, Taiwan dan China manakala bakinya adalah untuk pasaran tempatan.

Jelasnya, tiga daerah merupakan pengeluar terbesar di Selangor iaitu Klang, Sabak Bernam dan Sepang.

“Daerah Klang merupakan daerah yang tersohor bagi sistem ini kerana mengungguli dalam aspek pengeluaran, nilai dan bilangan penternak, ” katanya selepas lawatan ke sesi dialog “World Cafe-Open Space Technology” bersama pengusaha ternakan ikan sangkar, di Pulau Ketam di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Zakaria Ismail, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Klang, Abdul Rahman Joho dan Ahli Majlis MPK, Song Sung Hwan dan seramai 20 orang pengusaha ternakan ikan sangkar.

Yaakob berkata berdasarkan tiga daerah itu, Klang berjaya menghasilkan pengeluaran sebanyak 4,230.33 tan metrik dengan nilai RM 70.05 juta.

Manakala Sabak Bernam mencatatkan pengeluaran sebanyak 72.10 tan metrik dengan nilai RM 974,071 dan pengeluaran di Sepang sebanyak 33.85 tan metrik dengan nilai RM 548,802.

“Sehingga kini bilangan sangkar yang ada di Negeri Selangor adalah sebanyak 11,611 unit dengan keluasan 216,498.18 m2 (21.65 hektar).

“Daerah Klang mencatatkan angka tertinggi dari segi bilangan sangkar iaitu 11,095 unit sangkar, diikuti Sabak Bernam sebanyak 416 unit sangkar manakala Sepang sebanyak 100 unit sangkar.

“Jumlah pelaburan pula dianggarkan RM10,000 – RM15,000 bagi setiap petak yang bersaiz 5m x 5m,” katanya.

“Teknologi yang diguna pakai sekarang ini mampu memberikan hasil dan sumber protein yang mencukupi untuk dieksport ke luar negara serta mencukupi untuk pasaran tempatan,” katanya.


Pengarang :