Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Simpang Maut Lebuhraya Kuala Lumpur – Rawang Perlukan Jejantas

RAWANG, 25 OKT : Kerajaan diminta membina sebuah jejantas di persimpangan Lebuhraya Kuala Lumpur – Rawang menghala ke Institut Kraf Negara (IKF) di sini ekoran kekerapan kemalangan dan kesesakan yang berlaku di lalu lintas tersebut.

Penduduk di situ mengadu bahawa kemalangan serius yang meragut nyawa berlaku hampir setiap minggu kerana keadaan simpang yang tiada lampu jalan raya kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei.

“Kita mencadangkan satu jejantas bagi mengelak kemalangan daripada terus berlaku. Ini kerana pembangunan berterusan menambah bilangan penduduk dan kenderaan.

“Laluan keluar masuk di sini juga kebanyakannya digunakan pelajar terutama dari IKN yang menggunakan motosikal sebagai kenderaan utama. Ini tentu satu keadaan yang mendesak di sini,” katanya dalam sidang media sewaktu membuat lawatan di kawasa itu hari ini.

Pembangunan pesat di kawasan itu menyebabkan jumlah penduduk mencecah 2,000 orang dan pertambahan kenderaan menyebabkan kesesakan lalulintas berlaku.

Pei Nei berkata pejabatnya akan memohon kepada Kementerian Kerja Raya untuk membina sebuah jejantas.

“Mungkin keadaan jalan raya sedia ada tiada kelengkapan mencukupi untuk membantu satu situasi selamat bagi pengguna di sini. Kita juga terima aduan supaya lampu di jalan raya dipasang dengan lebih banyak demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

“Kita minta kementerian membuat kajian mengenai perkara ini,” katanya dengan harapan tindakan segera diambil bagi mengatasinya.

Seorang peniaga, Maznah Mat Desa, 53, dari Taman Tun Teja berkata, apabila waktu kemuncak memang sukar untuk melintas di situ kerana ia merupakan laluan utama melibatkan kenderaan yang banyak dan besar seperti bas dan lori.

“Minggu lepas seorang pelajar bermotosikal berlanggar dengan seorang penunggang lain untuk keluar dari simpang ini. Sekarang dikatakan kedua-dua mangsa ditempatkan di hospital kerana cedera.

?Minggu sebelumnya  seorang lelaki melintas jalan terlibat kemalangan dengan satu kenderaan dan meninggal dunia di situ,” katanya yang mendakwa berlaku tiga kemalangan di sepanjang Oktober ini.


Pengarang :