Selangorkini
NASIONAL

Sivarasa : Tiada Percanggahan Pendapat Isu Scorpene, Siasatan Sedang Berjalan

KUALA LUMPUR, 9 OKT : Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan kenyataan pendakwaraya kerajaan Perancis, Yves Charpenel yang menyatakan tidak ada sebarang perbicaraan berhubung skandal kapal selam Scorpene di negara itu.

Tegasnya, sejak dari awal NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kekal dengan pendirian bahawa proses siasatan sedang berlaku dan bukannya prosiding mahkamah seperti yang dinyatakan media.

Katanya, setelah diteliti kenyataan tersebut, nyata tidak timbul soal percanggahan kenyataan dan hanyalah mainan pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat.

“Apa yang Suaram kata dari awal ialah apa yang dilakukan di Perancis adalah siasatan bukan perbicaraan. Kalau ada perbicaraan sudah tentu ada tertuduh.

“Jelas tidak ada. Sejak awal Suaram konsisten dalam hal ini,” katanya kepada TV Selangor.

Jelasnya, sistem siasatan yang diamalkan di Malaysia dan Perancis berbeza kerana pihak kehakiman turut melakukan siasatan dan mengambil keterangan berhubung sesuatu kes di Perancis.

Sivarasa beranggapan, kenyataan pihak pendakwaan dan Suaram disifatkan sebagai perbezaan di antara oren dan epal.

“Di Malaysia polis melakukan siasatan manakala di Perancis, polis dan pihak kehakiman melakukan siasatan.

“Tidak ada percanggahan. Suaram berkata mengenai siasatan (oren). Pendakwa mungkin ditanya berkaitan perbicaraan (epal). Memang tiada perbicaraan sebab belum sampai tahap tersebut.

“Kalau ada kes untuk didakwa, maka ada tertuduh yg akan di panggil,” jelasnya lagi.

Suaram sebelum ini mengemukakan aduan mengenai sebuah syarikat Perancis yang didakwa memberi rasuah kepada sebuah firma Malaysia untuk urus niaga kapal selam Scorpene.

Skandal berkenaan turut melibatkan pemberian komisyen pembelian berjumlah RM500 juta.


Pengarang :